Dey Macha

dsp160519

dsp231112
IKLAN BANNER RM30-TEKS RM10 SEBULAN biaqpila(at)gmail.com



Sabtu, Februari 06, 2010

Ops Sikap patutnya ditukar menjadi Off Sikap



Oleh: ABD JALIL ALI

Sehari dua lagi kita akan melalui ‘Ops Sikap’ sempena ‘Gong Xi Fa Cai’. Saya pun tidak pasti kali ini ops yang ke berapa, sebab sudah banyak sangat ops seperti ini diadakan – setiap kali musim perayaan – oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan agensi-agensi berkaitan.

Beribu-ribu pegawai dan kakitangan agensi terlibat tidak dapat bercuti, sebaliknya bekerja 24 jam sepanjang ops seperti ini berjalan. Matlamatnya, seperti yang telah diketahui umum, ialah untuk mengurangkan kemalangan jalan raya. Apabila pemandu mengamalkan sikap berhemah di jalan raya, nahas dapat dikurangkan, dan nyawa dapat diselamatkan.

Malangnya setelah lebih 20 kali diadakan, ‘Ops Sikap’ ternyata tidak berkesan untuk mengurangkan kadar kemalangan di jalan raya seluruh negara. Fakta dari PDRM menunjukkan nahas kenderaan tidak pernah menurun – angkanya terus meroket setiap kali ops dijalankan.

Kalau kita teliti angka-angka kemalangan, kesimpulan yang boleh dibuat ialah sama ada musim ‘Ops Sikap’ atau hari-hari biasa, jumlah kemalangan sama sahaja. Bezanya ialah pada musim ops angka-angka kemalangan dikumpulkan dan disiarkan setiap hari dalam media, sedangkan angka kemalangan pada hari-hari biasa tidak disiarkan.

Sekiranya pada hari-hari biasa pun angka kemalangan dikumpul dan disiarkan, akan kelihatan bahawa jumlah kemalangan jalan raya kita sama sahaja. Bagaimana pun, tidak perlulah angka-angka itu disiarkan dalam akhbar setiap hari, sebab itu tidak akan menakutkan orang. Malah, kalau setiap hari angka-angka itu disusun dan disiarkan dalam akhbar, orang akan melihatnya sama seperti melihat angka-angka atau bilangan gol yang dijaringkan dalam kejuaraan bola sepak seluruh dunia. Tidak ada kesan.

Jalan raya kita memang menjadi medan pertempuran setiap hari. Dalam mana-mana pertempuran pasti ada yang terkorban. Korban jalan raya kita lebih tinggi berbanding dengan korban perang yang terjadi di beberapa bahagian dunia sekarang. Angkat terbaru korban jalan raya kita, seperti yang dijelaskan oleh Timbalan Menteri Pengangkutan Jalan Raya, Datuk Abdul Rahim Bakri, ialah kira-kira 7,000 setahun.

Bayangkan, tujuh ribu nyawa melayang di jalan raya kita setiap tahun. Itu jauh lebih tinggi dari bilangan tentera Amerika Syarikat yang terbunuh dalam perang Iraq selama empat tahun. Dalam perkataan lain, jalan raya kita yang lurus dan lebar lagi bertol, adalah jauh lebih berbahaya berbanding medan perang yang dipenuhi jerangkap samar, bom jangka, peluru berpandu, mortar dan lain-lain peralatan perang.

Maka, saya tertarik dengan usaha-usaha pihak berkuasa untuk mengurangkan kadar nahas jalan raya. Menurut Abdul Rahim kerajaan sedang meneliti kemungkinan penggunaan kamera untuk memerangkap pemandu yang melanggar peraturan jalan raya. Kamera? Semua orang bersetuju bahawa ini bukan benda baru. Kita sudah pun menggunakan kaedah ini.

Belum lama dulu kamera dipasang di kawasan-kawasan tertentu di sepanjang lebuh raya, juga pada persimpangan jalan dan di lampu trafik. Tetapi tidaklah diketahui mengapa akhirnya satu demi satu kamera itu hilang. Apakah alat itu tidak tahan hujan dan panas? Atau apakah kita tidak cukup duit untuk membeli filem? Waktu itu belum ada kamera digital. Apa pun kita pernah guna kamera, tetapi gagal. Kini hendak guna kamera lagi? Elok juga dikaji siapa yang dapat kontrak membekal peralatan canggih itu!

Selain kamera, satu ketika dulu kita pernah mewajibkan kenderaan-kenderaan berat, termasuk lori balak, memasang lampu merah di bahagian atas kenderaan. Apabila malam dan kawasan gelap, lampu merah yang berkelip-kelip sepanjang perjalanan itu boleh menyedarkan pengguna-pengguna jalan raya. Kaedah ini tidak dikuatkuasakan dengan sungguh-sungguh. Banyak lori tidak memasang alat tersebut, tetapi tidak ada tindakan.

Terkini, Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) akan membuka ‘talian panas’ sepanjang 24 jam selama tiga bulan, untuk menerima aduan dari orang ramai mengenai pemandu bas dan teksi yang melanggar peraturan. Menurut Pengerusinya, Datuk Halimah Sadique dengan talian panas 1-800-88-96000 beroperasi siang malam, orang ramai boleh membuat aduan pada bila-bila masa. Saya percaya aduan akan mencurah-curah masuk, tetapi soalannya ialah apa akan jadi pada aduan-aduan itu? Adakah dibuat tindakan susulan, atau hanya untuk simpanan rekod? Kita pun sudah ada talian seperti itu sebelum ini.

Untuk mengurangkan kemalangan jalan raya kita juga sejak sekian lama sudah ada lain-lain kaedah, termasuk menetapkan had maksimum muatan, had maksimum kelajuan, pemakaian topi keledar, penggunaan tali pinggang keledar tempat duduk belakang, dan macam-macam lagi.

Undang-undang sudah banyak. Apa yang kurang ialah penguatkuasaan undang-undang. Kita tidak tegas, kita lemah, malah sudah terbukti penguatkuasaan kita sering dikaitkan dengan rasuah. Contoh: Pemandu bas ekspres yang sudah dikeluarkan saman lebih 20 kali masih tidak diambil tindakan. Ada bas ekspres memecut hingga 170 kilometer sejam, tetapi berapa ramai yang kena cekup? Buatlah peraturan apa pun, jika semuanya ‘boleh dibeli’ dan ‘bisa diatur’, peraturan dan undang-undang itu tidak akan berkesan. Jalan raya kita akan terus menjadi medan maut.

Selain rasuah, kebanyakan pengguna jalan raya kita memang kurang ajar, angkuh dan bodoh sombong. ‘Ops Sikap’ diadakan untuk menyemai sikap berhemah di kalangan pengguna jalan raya, khasnya pemadu, lebih-lebih lagi pemandu bas ekspres. Malangnya sesetengah pemandu kita, termasuk pemandu kenderaan berat, langsung tidak bersikap. Kita lancar ‘Ops Sikap’ mereka amalkan ‘Off Sikap’. Perlu diingat ‘Off Sikap’ ini tidak bermusim, ia berjalan sepanjang masa. Sebab itu jalan raya dan lebuh raya kita terus berdarah!

sinarharian


BEKERJA SECARA SAMBILAN ATAU SEPENUH MASA DI RUMAH
Beri sekali dapat banyak kali...
Kelab BlackV6
Iklan di Biaqpila cuma RM30 sebulan (Iklan Banner+Teks) >> email ke biaqpila(at)gmail.com
KOMEN
0 KOMEN

0 komen (Sila komen sikit..):

Catat Ulasan

Sendiri mau ingat...

LISTEN TO AL-QURAN ONLINE

Listen to Quran

Blog Archive