Benarkah orang baik mati cepat? Baiklah, seberapa cepat? Esok, lusa atau tulat? Kita pula bagaimana… apakah kita akan mati cepat atau lambat?
Nota ini saya tulis setelah memerhati keadaan sekeliling apabila menyedari ramai yang baik-baik, alim, suka berjihad ke jalan ALLAH telah diambil dulu. Kadang-kadang baru sahaja semalam kita bertemu dengannya, tahu sahaja hari ini sudah arwah…
Berbeza dengan mereka yang laknat hukum ALLAH, atau jahil, zalim - kerjanya merogol, membunuh, merompak, berzina… mereka terus hidup untuk melakukan pengkhianatan demi pengkhianatan.
Bak kata sahabat saya, yang zalim terus zalim bagaikan dunia ini mereka punya. Ini hanya cetusan peribadi saya sahaja… lahir sambil memikir-mikir di mana saya letakkan buku Hidup Sesudah Mati tulisan Bey Ariffin. Sudah puas saya mencarinya di mana-mana. Buku ini pernah diharamkan dulu.
Ketika menghadiri slot bagi acara Sembang Buku sempena Festival Penulis Grup Buku Karangkraf dan mendengar ceramah tiga panel, ramai yang hadir terpaku. Dewan senyap sunyi. Judul acara berkenaan ialah 6 Kaki Bawah Tanah. Kuburlah yang dipacak nesanlah yang terpandang di mata.
Panel terdiri daripada tokoh-tokoh agama dan motivasi, iaitu Prof Madya Rasid Muhamad, Zaharuddin Abdul Rahman dan Dr Robiah K Hamzah.
Moderator majlis berkenaan ialah Ustaz Mohd Yaakob Mohd Yunus. Majlis ini mendapat sambutan hebat hinggakan tiada langsung kerusi kosong.
Masing-masing khusyuk mendengar dan semestinya dalam hati bercakap sendiri. Bagaimanakah kita hendak berhadapan dengan soalan Mungkar Nangkir, dan Atib serta Raqib memang tidak pernah berbohong.
Sewaktu berada enam kaki di bawah tanah nanti tidak ada seorang pun daripada kita boleh berbohong. Walau mulut sudah tidak boleh berbicara, tetapi saat itu tangan dan kaki akan bercerita. Mata juga tidak mahu bersubahat, akan tetap bercerita apa selama di dunia ini diperkatakan, diumpat dan dikeji.
Seorang sahabat saya belum pun mencecah usia 40 tahun, telah dijemput dahulu. Banyak amalannya belum habis ditunaikan, kata balu beliau. Arwah juga katanya belum cukup puas beribadat, kerja-kerja kebajikannya belum separuh ditunaikan.
Namun jemputan itu tiba jua tanpa boleh ditangguh-tangguh. Arwah pergi dalam lena. Ya sebuah lena yang amat panjang. Rasa terkesima saya muncul. Apakah kita belum cukup baik… ALLAH SWT tidak menjemput kita pergi dulu kerana kita tidak baik, belum jadi baik atau kena lebih baik daripada semalam dan kelmarin.
Saya teringat akan hadis yang mengatakan pada akhir zaman, ilmu-ilmu ALLAH akan diangkat semula dengan kematian orang agama, perawi dan ulama-ulama. Saya memandang ini sebagai sesuatu yang amat positif.
Ia menjadi positif jika kita mengambil kenyataan bahawa orang alim, imam dan ulama berkenaan telah menjalankan tugas kebaikan mereka dengan amat sempurna. Hingga ALLAH SWT amat berpuas hati dengan apa yang telah mereka lakukan.
Maka amalan mereka, kebaikan dan ilmu agama yang disebarkan mereka telah menjadi lebih panjang. Telah tersebar dengan luas, masuk ke sanubari mereka yang jahil. Dalam situasi ini sebenarnya, usia mereka sahaja yang pendek.
Apa yang pasti, amalan mereka telah dipanjangkan dan terus dipanjangkan lagi sejauh mana ilmu itu diamalkan oleh orang lain. Hendaklah kita selalu ingat kata-kata ini - Bekerja kuatlah seolah-olah kita akan hidup seratus tahun lagi dan beramal ibadatlah, seperti kita akan mati esok hari.
Ya ALLAH, Kau akhirilah kehidupan kami dengan khusnul khatimah dan sentiasa mengingati-MU. Kami tidak mahu menjadi seperti orang yang masih hidup tetapi telah dimatikan oleh-Mu segala sudut hati kami.
SRI DIAH/SH
KONGSI ARTIKEL INI MELALUI FACEBOOK