Dey Macha

dsp160519

dsp231112
IKLAN BANNER RM30-TEKS RM10 SEBULAN biaqpila(at)gmail.com



Khamis, November 18, 2010

Hikayat Monyet & Harimau Jadi-Jadian

Oleh: Shirzad Lifeboat

Ada bidalan popular Inggeris, “If you pay peanuts, you’ll get monkeys.” Maksud literalnya, “jika anda membayar kacang, maka anda akan perolehi monyet.” Dan apa yang tersirat di sebalik yang tersurat ialah sekiranya anda memberikan upah tidak setimpal dengan kerja dilakukan maka pulangan bakal anda terima bukan sahaja mengecewakan malah adakalanya begitu lucu.

Bercakap mengenai upah, setidak-tidaknya dua sektor pekerjaan dapat dikaitkan dengan pembayaran upah sekadar ‘kacang’ ini. Pertama, sektor awam di mana pendapatan majoriti penjawat awam tidak mencerminkan atau bahkan setimpal dengan tugas dilakukan



Kedua, majoriti pekerja bawahan semua sektor swasta di mana upah yang diterima tidak berbaloi dengan penat lelah serta risiko ancaman terhadap kesihatan bagi sesetengah pekerjaan.

Banyak telah diperkatakan tentang tuntutan gaji minima. Bukan sahaja dalam bentuk penulisan, pandangan dan pendapat yang disiarkan di media termasuk di Harakah ini tetapi juga dalam bentuk tindakan lain. Misalnya pada 21 September 2006, Jaringan Rakyat Bertindak (Jerit), sebuah pertubuhan NGO telah menganjurkan satu piket melibatkan lebih 1,500 pekerja kilang dari seluruh Malaysia yang berarak ke Parlimen untuk menyerahkan lebih 50,000 kad tuntutan menuntut Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi agar menggubal Akta Gaji Minimum serta undang-undang yang menjamin hak pekerja

.

Namun, sebagaimana biasa tatkala UMNO-BN masih kukuh, rayuan rakyat seperti ini bukanlah merupakan prioriti pemerintah.

Setelah kerajaan UMNO-BN mengambil sikap memekakkan telinga kepada piket berkenaan, maka pada 18 Jun 2007 Kongress Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) telah mengambil inisiatif menghantar satu memorandum kepada Perdana Menteri menuntut gaji minima RM900 dan Elaun Kos Hidup RM300.

Sekiranya ketika itu Abdullah memiliki khasyaf dan boleh melihat tembus apa yang akan berlaku pada Mac 2008, sudah tentu beliau akan mengambil peranan menjadi Santa Claus lalu meluluskan sahaja permintaan MTUC itu tanpa banyak soal.

Begitupun, jika hal itu berlaku sekalipun, pendapatan minima RM1,200 (RM900+RM300) bukan sahaja tidak mampu menyelesaikan masalah rakyat tetapi hanya akan dapat meredakan industrial unrest atau pergolakan industri yang berlaku secara senyap-senyap untuk seketika.

Tidaklah dapat dipastikan atas dasar apakah MTUC meletakkan angka permintaan berkenaan. Mungkin pertubuhan itu merasakan inilah gaji minima paling sesuai dan paling tidak mengaibkan yang boleh diberikan dan diterima oleh seseorang pekerja Malaysia dan tidak pula keberatan diluluskan oleh kerajaan. Nak minta lebih-lebihpun ‘buat pengabis beras aje’ kerana sejarah tuntutan gaji yang dikemukan oleh pertubuhan ini menunjukkan kadar dan jumlah kenaikan yang dipersetujui oleh kerajaan lazimnya jauh dari apa yang diminta.

Hari ini, atas desakan semua pihak – golongan pekerja, rakyat, parti oposisi, media alternatif dan sebagainya – kerajaan UMNO-BN nampaknya sudah bersedia menerima saranan agar diwujudkan Akta Gaji Minima, dengan segala puji-pujian dan kredit dituntut sepenuhnya oleh parti berkenaan.

Begitupun, tentulah sukar untuk membezakan sama ada persetujuan menggubal akta tersebut adalah semata-mata kerana kepekaan jitu UMNO-BN terhadap golongan pekerja Malaysia yang boleh dianggap sebagai hampir mencecah taraf ‘marhaen’ atau satu lagi usaha terdesak parti tersebut dalam menyelamatkan diri dari terus dihanyutkan gelombang zaman.

Namun, apapun alasannya, perihal pendapatan majoriti pekerja Malaysia menyebabkan Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak menjadi ibarat penjugel (juggler) dalam permainan sarkis yang terpaksa mengimbangi bukan sekadar tiga butir bola tetapi lebih dari jumlah tersebut.

Dalam mempromosikan diri selaku sipintar kewangan atau financial wizard Malaysia abad ini dengan idea terkedepan seperti Model Ekonomi Baru (MEB), Najib tidak boleh tidak terpaksa juga mengasaskan perancangannya berdasarkan maklumat ekonomi sahih. Malangnya menurut Laporan MEB sebanyak 40 peratus isi rumah di Malaysia berpendapatan kurang daripada RM1,500 sebulan dan kira-kira 442,000 orang atau 34 peratus daripada 1.3 juta pekerja tempatan memperoleh pendapatan bulanan di bawah Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) iaitu RM720 sebulan.

Tidaklah diketahui apakah kriteria bagi penetapan PGK. Bagaimanapun, tanyalah mereka yang berpendapatan kira-kira RM1000 sebulan sama ada apakah mereka tidak merasakan diri miskin walaupun mereka hanya berbelanja yang perlu dan berulang-alik ke tempat pekerjaan dengan menaiki pengangkutan awam. Justeru ramai yang mempertikaikan angka RM720 sebagai subjektif. Apakah sekiranya seseorang itu berpendapatan RM725, atau hatta RM750 sebulan maka dia sudah boleh dianggap terkeluar dari kepompong kemiskinan?

Menurut Program Transformasi Ekonomi ciptaan Najib, pendapatan per kapita Malaysia akan bertambah 100 peratus dalam tempoh 10 tahun pelaksanaan. Jika ini benar, maknanya dalam tahun 2020 kelak mereka yang berpendapatan RM720 akan memperolehi pendapatan RM1,480. Oleh itu, apakah ini bermakna pekerja terbabit sudah boleh dikira menjadi kaya kerana memperolehi pendapatan dua kali ganda dari apa yang pernah diterimanya 10 tahun terdahulu?

Dalam menjaja cerita tentang betapa hebatnya prestasi Najib serta UMNO-BN, peratusan sedemikian tentulah hebat dan menakjubkan. Namun hakikatnya dalam sebutan sebenar ia tidak menyelesaikan apa-apa masalah dan tidak mengangkat taraf hidup golongan pekerja terbabit.

Tidaklah dapat dipastikan sama ada penjajaan cerita sedemikian adalah cara UMNO-BN cuba menyilapmatakan rakyat atau disebabkan rasa syok sendiri pemimpin mereka. Apapun, bukanlah sesuatu menghairankan sekiranya Bank Dunia melaporkan keadaan stagnasi produktiviti yang dialami oleh Malaysia di mana pertumbuhan gaji sebenar hanya mencatatkan peningkatan 2.6 peratus di antara tahun 1994 hingga 2007.

Perlu dinyatakan betapa kajian Bank Dunia itu merangkumi tempoh masa 13 tahun dan ketika Malaysia menjadi antara negara yang mendapat jolokan Asian Economic Tiger. Hari ini dalam keadaan di mana harimau sudah semakin tua dan jalan terhincut-hincut, apakah prospek pendapatan sebenar rakyat Malaysia boleh dianjakkan sehingga 100 peratus dalam masa 10 tahun dari sekarang?

Apakah Najib akan menggunakan harimau jadi-jadian? Atau apakah disebabkan upah yang tidak setimpal dengan kerja dilakukan maka rakyat Malaysia akan terus memperolehi perkhidmatan bertaraf ‘monyet’?



DD

KOMEN
0 KOMEN

0 komen (Sila komen sikit..):

Catat Ulasan

Sendiri mau ingat...

LISTEN TO AL-QURAN ONLINE

Listen to Quran

Blog Archive