Dey Macha

dsp160519

dsp231112
IKLAN BANNER RM30-TEKS RM10 SEBULAN biaqpila(at)gmail.com



Isnin, November 08, 2010

Dinda Sayu Kanda Layu

DILEMA isteri berdepan suami yang ada masalah mati pucuk, atau erektil disfungsi (ED), memang jarang dibincang secara terbuka kerana kebanyakan isteri keberatan membuka rahsia rumah tangga selain mahu menjaga air muka suami.





Walaupun isu ED timbul di negara kita sejak 1998, sangat sedikit lelaki sanggup membincangkan masalah ED dengan isteri kerana ia dianggap mencalarkan keegoan dan kelelakian mereka.





Bahkan dengan doktor lelaki pun, ramai keberatan hendak bercerita sehingga memaksa isteri bertanya bagi pihak mereka.





Mungkin lelaki tidak sedar, ED dan semua masalah berkaitan seksual bukan masalah individu itu sendiri kerana tempiasnya akan turut dirasai pasangan, kata Perunding Psikologi Psikologi, Fakulti Perubatan Universiti Malaya (UM), Prof Dr Low Wah Yun.





“Ini bukan isu baru dan acap kali dibincangkan tetapi bagi lelaki, apabila berdepan masalah berkaitan seksual, ego mereka tercabar. Mereka tidak mahu mengakuinya dan lebih rela memendamkan masalah itu sendirian.





“Sebenarnya, apabila seseorang itu mempunyai masalah seksual, pasangan turut merasa kesannya kerana ia boleh membuatkan hubungan suami isteri menjadi renggang, sekali gus menjejaskan keharmonian rumah tangga.





“Kalau berbincang dengan doktor pun, biasanya lelaki berkata ‘kawan’ mereka yang ada masalah ED. Ada yang anggap ED adalah sebahagian daripada proses penuaan. Ini anggapan salah kerana ED adalah petunjuk kepada masalah kesihatan lain.





“Ada juga suami boleh berkongsi masalah mereka dengan isteri tetapi menjadi sensitif apabila diminta menjalani rawatan. Dalam hal begini, isteri perlu bijak dengan mengubah topik perbincangan kepada masalah kesihatan lain yang berkaitan seperti kencing manis dan tekanan darah tinggi sebelum masuk ke isu ED,” katanya.





Di Malaysia, dianggarkan tiga daripada setiap 10 lelaki di bandar berumur 40 tahun ke atas mengalami masalah ED. Jumlah ini bertambah dengan peningkatan umur di mana ED didapati berlaku pada satu daripada lima lelaki berumur antara 50 hingga 59 tahun; dua daripada lima lelaki (60 hingga 69 tahun) dan tiga daripada lima lelaki bagi kumpulan berumur 70 tahun ke atas.





Kajian mendapati 38 peratus lelaki tidak pernah bercakap dengan doktor mengenai masalah ED mereka. Di kalangan yang bercakap, 86 peratus memulakan perbincangan berkenaan.





Secara purata, sebaik gejala pertama ED dikesan, sebenarnya seseorang lelaki itu sudah dua tahun mengalami masalah ini.





Malangnya, di kalangan lelaki, ada banyak salah anggapan yang menyebabkan mereka tidak mendapatkan rawatan seperti: > Ia hanya masalah psikologi; > Ia bersifat sementara (dan akan hilang atau pulih sendiri); > Ia tidak membunuh; > Ia perkara normal dalam proses penuaan.





ED bukan sekadar masalah psikologi. Walaupun faktor psikologi seperti tekanan, keresahan, rasa bersalah atau kekurangan terhadap seks, keletihan, masalah hubungan, perasaan terhadap pasangan dan kemurungan; tetapi 80 peratus kes disebabkan faktor fizikal dan hanya 20 peratus kes ED berpunca daripada masalah psikologi.





ED juga tidak akan hilang sendiri selagi punca masalah tidak diatasi atau dirawat, terutama jika ia disebabkan gangguan kesihatan (penyakit).





Memang benar ED tidak terus menyebabkan kematian tetapi ia menjejaskan kualiti hidup lelaki (berasa rendah diri, malu, tertekan dan murung) yang perlahan-lahan boleh membunuhnya.





Menurut Penyelidik dan Perunding Kesihatan, Dr Siti Norazah Zulkifli, ED juga akan menjejaskan keyakinan seseorang lelaki dan mempengaruhi hubungannya dengan pasangan jika tidak dirawat. Pasangan akan berasa bersalah, tertekan, tidak disayangi dan boleh berprasangka suaminya sudah berubah hati.





“Lelaki Melayu suka pergi berurut untuk mengembalikan ‘kemampuan’ mereka tetapi anda perlu sedar, urut tidak akan menyelesaikan masalah berkaitan ED kerana banyak faktor menyumbang kepada perkara ini, termasuk tahap kesihatan.





“Halangan dihadapi sekarang ialah kurang pengetahuan mengenai ED. Ramai anggap ia masalah lelaki tua, tetapi hakikatnya ia juga boleh berlaku pada orang muda. Oleh itu lebih sukar membincangkan isu ED dengan pasangan muda kerana ramai beranggapan ia tidak akan terjadi pada mereka,” katanya.





Baik tua atau muda, lelaki perlu mendapatkan rawatan segera apabila menyedari mereka menghadapi masalah berkaitan seksual, khususnya ED, kerana ia juga menjadi petanda penting kepada penyakit jantung. Gejala ED boleh muncul dua atau tiga tahun sebelum seseorang lelaki mengalami gejala penyakit jantung.





Antara sebab lain lelaki yang ada masalah ED perlu berjumpa doktor ialah: > 68 peratus lelaki hipertensi (tekanan darah tinggi) ada ED; > 60 peratus lelaki yang ada ED mengalami masalah dislipidemia; > 56 peratus lelaki yang ada ED menunjukkan keputusan positif dalam ujian tekanan (untuk jantung); > 40 peratus lelaki yang ada ED menunjukkan masalah koronari jantung; > 20 peratus lelaki yang ada ED menghidap kencing manis; > 11 peratus lelaki yang ada ED mengalami kemurungan.





Malah, kajian lain mendapati 57 peratus lelaki yang jalani pembedahan pintasan jantung mengalami masalah ED sebelum rawatan dan 64 peratus lelaki yang mendapat serangan jantung sudah ada ED sebelum serangan.





Sebenarnya menebalkan sikap malu untuk membincangkan masalah ED dengan isteri bukan tindakan bijak. Kajian menunjukkan isteri akan memberi sokongan kepada suami untuk mendapatkan rawatan demi kesejahteraan rumah tangga mereka.





Tidak sedikit rumah tangga yang kucar-kacir dan runtuh akibat masalah seks. Ia menjadi punca kedua selepas faktor kewangan yang menyebabkan berakhirnya ikatan perkahwinan kerana hubungan seksual bukan sekadar hubungan badan tetapi menjadi pengikat kasih sayang suami isteri.





Kalau anda masih berat hati hendak berkongsi masalah dengan isteri, kunjungi mana-mana klinik kerana kini kebanyakan doktor didedah dan diberi bimbingan untuk mengesan ED pada peringkat awal.





Sebenarnya lelaki bukan tidak mahu membincangkan masalah ED tetapi menunggu doktor memulakan topik ini terlebih dulu. Namun jika difikirkan kembali, jika perbincangan itu antara lelaki dengan lelaki; apa yang hendak dimalukan, lagi pun ia untuk kebaikan diri juga.





Seorang pakar urologi pernah berkata, kelelakian bukan hanya diukur pada kemampuan melakukan hubungan seks tetapi turut membabitkan kesediaan lelaki menerima hakikat serta mendapatkan rawatan secepat mungkin.

prebetsapus


1 ulasan:

Sendiri mau ingat...

LISTEN TO AL-QURAN ONLINE

Listen to Quran

Blog Archive