KUALA LUMPUR, 25 Sept — Ahli perniagaan Datuk Mohd Taufik Omar mengakui syarikatnya menyediakan jet eksekutif kepada ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dan berkata ia tidak menjadi kesalahan besar kerana mereka hanya menjalankan urusan perniagaan.
Menurut laporan The Star hari ini, Mohd Taufik menafikan dia adalah pemilik jet tersebut dan enggan mendedahkan jumlah wang yang dibayar bagi khidmat menyediakan jet itu.
“Syarikat saya hanya menguruskan jet peribadi.“Oleh kerana ia jet peribadi, maka ia harus menjadi perkara rahsia,” katanya dalam The Star.
Mohd Taufik merupakan presiden Persatuan Judo Malaysia, juga pengerusi LD Sports Sdn Bhd, Kenangan Nilam Sdn Bhd, Asiana Inspirasi Sdn Bhd, KN Capital Sdn Bhd dan T Corp Labuan.
Beliau juga pengarah dalam syarikat Health Solutions (SE Asia) Sdn Bhd, CltlTower Sdn Bhd, Aliran Modern Sdn Bhd dan Vasseti Bhd.
Anwar, sebelum ini, dilaporkan menaiki jet eksekutif bersama-sama beberapa pemimpin pembangkang lain dari Terminal SkyPark Subang untuk ke Labuan, Sabah pada tarikh tersebut.
Menurut pendedahan blog yang memetik kenyataan akaun Twitter naib presiden PKR Tian Chua beberapa hari lalu, jet eksekutif itu dinaiki Anwar bersama-sama para pemimpin pembangkang lain ke Labuan dan Kota Kinabalu, dipercayai bagi menyambut perayaan Hari Malaysia.
Malah, kehadiran Anwar ke Labuan juga turut menyaksikan kemasukan bekas bendahari Umno Sabah, Tan Sri Ibrahim Menudin ke dalam PKR.-TMI
KONGSI ARTIKEL INI MELALUI FACEBOOK