Keputusan pilihan raya kampus Universiti Islam Antarabangsa (UIA) hari ini digantung ekoran masalah teknikal.
Jurucakap universiti memberitahu Malaysiakini, keputusan itu diambil ekoran jumlah undi direkodkan melebihi jumlah mahasiswa keluar mengundi.
Perkara itu, katanya akan dirujuk kepada Dewan Senat UIA.
Menurut jurucakap UIA juga, jawatankuasa pemilihan kampus akan mencadangkan supaya diadakan pilihan raya semula secara manual dalam tempoh seminggu.
Sekarang ini universiti itu menggunakan pengundian elektronik (e-undi).
Jika cadangan itu diterima, ini bermakna UIA menjadi universiti pertama di negara ini menjalankan semula pilihan raya kampusnya.
Jika tiada masalah, keputusan pengundian di universiti itu sepatutnya sudah diumumkan selewat-lewatnya jam 8 malam tadi.
Sebanyak 31 kerusi dipertandingkan dalam pilihan raya kampus universiti itu pada tahun ini.
Tahun lalu kumpulan Pro-Mahasiswa menang 23 daripada 26 kerusi.
Sementara itu, dalam kenyataan kepada Malaysiakini sebentar tadi, jawatankuasa itu memohon maaf terhadap kesulitan yang dihadapi.
Jawatankuasa itu juga menegaskan prosesnya berjalan lancar tanpa campur tangan luar dan parti politik.
MK
KONGSI ARTIKEL INI MELALUI FACEBOOK