SKUDAI – Misteri penemuan seekor kucing hitam didakwa jelmaan individu yang mengamalkan ilmu hitam menggemparkan penduduk Jalan Laksamana, Taman Ungku Tun Aminah, di sini.
Kisah berkenaan terus menjadi tajuk perbualan hangat di kalangan orang ramai kerana haiwan terbabit dikatakan sering ditemui apabila serbuan dilakukan sebaik sahaja suara jeritan penduduk kedengaran setiap kali azan berkumandang.
Berkat doa dan solat hajat secara berjemaah selepas selesai isyak malam kelmarin, sekumpulan anak muda berjaya menangkap kucing hitam itu di tandas rumah seorang penduduk.
Kucing jadian itu dimasukkan dalam sangkar dan dibawa ke Balai Polis Taman Ungku Tun Aminah untuk pengawasan selama 24 jam.
Ia bertujuan untuk memastikan sama ada haiwan terbabit boleh menjelma sebagai manusia, namun tiada sebarang perubahan dilihat selepas sehari kucing hitam itu berada di perkarangan balai polis itu.
Imam Masjid Laksamana, Ahmad Tahir Mohamed, berkata, kucing itu dilepaskan di Sungai Skudai, petang semalam dengan harapan ilmu hitam itu hanyut dibawa arus.
“Kejadian yang berlaku sejak dua bulan lalu menggusarkan penduduk kerana beberapa rumah di sini di pecah masuk yang melibatkan kerugian ribuan ringgit.
“Penyamun berkenaan dipercayai mengamalkan ilmu hitam dan terpaksa memenuhi kehendak untuk melengkapkan ilmunya yang didakwa akan berakhir pada malam Jumaat ini.
“Modus operandi penyamun ini ialah masuk rumah melalui atap belakang. Dakwaan orang ramai berasas, apabila dikejar penyamun ini. Ia akan berakhir dengan penemuan kucing itu,” katanya.
Menceritakan kejadian ketika menangkap jelmaan terbabit, Ahmad Tahir berkata, haiwan berkenaan bertindak agresif dengan menggigit salah seorang anak muda yang cuba menangkapnya.
“Keadaan fizikalnya amat pelik dengan mata yang berwarna kemerah-merahan, telinga yang sedikit panjang umpama kucing hutan dan tidak ada bunyi dengusan ketika ditangkap.
“Saya tidak pernah melihat kucing seperti treler (panjang). Tidak sama seperti kucing biasa. Saya percaya ini ada kaitan dengan ilmu hitam,” katanya.
Kegusaran penduduk di situ tercetus sejak dua bulan lalu, apabila lebih tujuh kejadian pecah rumah di kawasan itu dilaporkan.
Atas rasa keprihatinan tersebut, 40 penduduk taman itu lakukan pemantauan secara sukarela di waktu malam
“Kami bersembunyi di atas pokok selama beberapa jam untuk menjejaki penyamun ini. Salah seorang penduduk turut tercedera kerana cubaan menangkap jelmaan itu.
“Kami terpaksa berjaga setiap malam sejak dua bulan lalu, dan turut dapat kerjasama polis. Kami bersyukur dan berharap kejadian ini tidak berulang lagi,” katanya.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner, Ruslan Hassan enggan mengulas.
“Tiada sebarang laporan yang dibuat oleh orang ramai,” katanya ketika dihubungi, di sini semalam.
Dalam pada itu, kejadian mistik ini turut dipanjangkan kepada Pengerusi Jawatankuasa Agama Negeri Johor, Datuk Zainal Abidin Osman.
Beliau berkata, kesahihan kejadian jelmaan seperti itu tidak dapat dikenal pasti sama ada benar-benar berlaku atau tidak.
Menurutnya, kejadian seumpama itu juga ada kalanya bergantung kepada kepercayaan masing-masing.
“Saya tidak pasti sama ada ia benar atau tidak dan adanya kewujudannya seperti itu, jelmaan itu benar-benar berlaku atau tidak, boleh jadi betul atau boleh jadi tak betul, saya tidak pasti, ia terpulang kepada kepercayaan individu,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, di sini, semalam.-SH
SUDAHKAH ANDA MENGUNDI? KALAU BELUM,SILA UNDI BIAQPILA SEKARANG...SEKALI-SEKALA,APA ADA HAL KAN?