Kenapa Pengundi Hulu Selangor Meningkat Drastik?
Peningkatan secara drastik jumlah pengundi di kawasan Parlimen Hulu Selangor dipercayai berkait rapat dengan sindiket memberikan kewarganegaraan kepada warga asing, seperti yang didedahkan Parti Keadilan Rakyat 10 Mei lalu.
Hasil percaturan licik itu, semalam UMNO Hulu Selangor mengumumkan jumlah pengundi dikawasan parlimen itu meningkat secara drastik iaitu, lebih 15 ribu orang, menurut Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR, Khalid Jaafar.
Sehubungan itu, Polis Di Raja Malaysia (PDRM) didesak agar segera menyiasat dakwaan itu dan melumpuhkan segala aktiviti 'menjual' kedaulatan negara itu.
"Memetik Sinar Harian semalam, dia (UMNO Hulu Selangor) kata jumlah pengundi di Hulu Selangor meningkat lebih 15 ribu hasil usaha UMNO Selangor daftarkan mereka," kata Khalid kepada media ketika sidang media di Ibu Pejabat PKR di sini hari ini.
11 Mei lalu Khalid bertindak membuat laporan polis berikutan bimbang dengan tindakan terdesak UMNO BN yang berikrar mahu merampas kembali Selangor dengan apa jua cara tanpa menyedari tindakan itu akan menggadaikan kedaulatan negara.
Modus operadi memberikan hak kerakyatan itu dilihat mirip kepada projek kad pengenalan di Sabah sewaktu dipimpin oleh mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada tahun 1990.
"Projek kad pengenalan tidak begitu diketahui di Semenanjung tetapi merupakan isu panas di Sabah.
Sehingga kini kerajaan BN tidak mahu menangani isu itu dengan serius.
Kita tahu mengapa, kerana Projek kad pengenalan adalah projek UMNO Sabah merubah demografi negeri tersebut bagi memastikan UMNO terus berkuasa," tegas Khalid.
Sementara itu, bekas calon DUN Likas, Dr. Chong Eng Leong mengesahkan kegiatan memberi hak kerakyatan kepada warga asing berlaku secara berleluasa di Sabah.
Eng Leong yag juga penulis buku 'Lest We Forget', adalah individu yang bertanggungjawab membawa petisyen daftar pemilih yang dicemari warga asing ke mahkamah sehingga memaksa pilihan raya kecil DUN Likas diadakan semula pada tahun 1999.
Baru- baru ini, Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin mendedahkan Ketua UMNO Hulu Selangor, Datuk Idris Jaafar menghantar surat rasmi kepada Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammudin Tun Hussien memohon agar diberi status warganegara kepada kira- kira 2000 warga asing bagi mengundi BN pada pilihan raya umum ke- 13 akan datang.
Pendedahan itu dinafikan Idris dan mengugut untuk mengenakan tindakan mahkamah kepada PKR.
"Dia nak saman saya terpulang, Saya lapor polis supaya perkara ini disiasat," kata Khalid.
UMNO Hulu Selangor turut mendakwa surat tersebut adalah palsu malah Hishamuddin serta Timbalannya Datuk Lee Chee Leong berkata, kementeriannya tidak akan memberi kelulusan ke atas permohonan kerakyatan penuh kepada warga asing jikapun ia dipohon Umno.
Justeru Khalid berkata, Pakatan Rakyat dan pelbagai pihak mendesak agar ditubuhkan Siasatan Diraja bagi menyelesaikan masalah tersebut namun cadangan itu tidak mendapat sebarang reaksi dari kerajaan pemerintah.
"Projek IC adalah cabaran besar PR.
Justeru ia salah satu unsur dalam Buku Jingga.
Kita menjanjikan rakyat Sabah untuk selesaikan isu tersebut dan kita juga perlu bersiap siaga kemungkinan sindiket tersebut melebarkan sayapnya ke Semenanjung," kata Khalid lagi.
Video ihsan TV Selangor, Malaysiakini TV dan Malaysianews
SUDAHKAH ANDA MENGUNDI? KALAU BELUM,SILA UNDI BIAQPILA SEKARANG...SEKALI-SEKALA,APA ADA HAL KAN?