Dey Macha

Dey Macha
NAK TERSENGIH SELALU? SILA LIKE BIAQPILA PAGES

Kasi like saja apa ada hal...

Biaqpila on Facebook
IKLAN BANNER RM30-TEKS RM10 SEBULAN biaqpila(at)gmail.com



Sabtu, Mei 12, 2012

NASI CAMPUR SEPINGGAN RM7.50


Kelmarin saya terbaca berita dalam akhbar Daily Telegraph London keluaran 4 April tentang seorang Pak Cik yang berumur 77 dari kota Athens telah menembak dirinya di Dataran Syntagma di hadapan pintu masuk ke Parlimen Greek.Pak Cik ini telah meninggalkan surat wasiat menerangkan kenapa dia membunuh diri. Dari suratnya dunia diberitahu bahawa dia tidak lagi sanggup hidup kerana kos untuk hidup dan bernafas terlalu mahal. Gambar: Sekadar hiasan.

Dia tidak sanggup untuk berhijrah dari satu tong sampah ke tong sampah untuk mencari sisa makanan. Nilai duit pencen Pak Cik ini telah merosot hinggakan dia tidak berkeupayaan untuk membeli bahan makanan. Sehari sebelum Pak Cik Greek ini membunuh diri, seorang Mak Cik dari bandar Gela Sicily telah terjun dari tingkat tiga. Mak Cik Itali yang berumur 78 tahun ini membunuh diri kerana tidak lagi sanggup untuk hidup. Duit pencen bulanannya telah diturunkan dari s$800 Euro ke $600 Euro.

Kes-kes membunuh diri ini semakin banyak berlaku di Eropah. Krisis ekonomi ini telah memaksa kerajaaan di Itali, Greek. Sepanyol dan Portugal ‘mengikat perut’ – memotong belanjawan untuk membayar hutang negara. Tiga minggu yang lalu saya telah bertemu dengan seorang kawan lama. Pertemuan ini disebuah tempat yang tidak ada nama. Mungkin asalnya sebuah warung, kemudian dibesarkan untuk menjadi restoran. Atau lebih tepat lagi ini ‘kedai makan setinggan’ yang tidak memiliki surat izin dari Dewan Bandaraya.

Ini kedai makan nasi campur Melayu, khusus untuk makan tengah hari. Sebagai seorang ‘foodie’ rasa masakan di kedai ini bukanlah di tahap yang tinggi. Kalau saya hendak beri markah, saya akan beri C-. Saya memilih untuk datang ke sini kerana letaknya tidak jauh dari bilik saya menginap.

Kedai makan ini menjadi tarikan untuk Mat Motor, Minah Kelisa dan Mat Proton. Tempat ini selesa kerana senang hendak meletakkan kereta. Tetapi bukan ini yang ingin saya ceritakan.

Apa yang nak saya ceritakan ialah bagaimana saya terperanjat besar. Setelah selesai makan saya bertanya berapa harga makanan kami. Kawan saya mengambil nasi, gulai daging dan sayur. Saya mengambil nasi, sepotong ikan masak kari dan sayur. Kawan saya minum air teh limau sejuk dan saya air suam. Kenapa saya terperanjat? Kerana bil kami ialah RM19.70 sen.

Dua hari dulu saya makan disebuah warung. Saya ulangi – saya makan di warung, bukan restoran atau kedai makan. Tempat duduk di bawah pokok kayu. Tidak ada kipas angin. Tidak ada kertas tisu. Lantai tempat meja makan ini ialah lorong pejalan kaki.

Saya mengambil nasi, sayur terung dan sepotong ikan tenggiri goreng. Seperti biasa saya mengambil segelas air suam. Bil saya ialah RM7.50 sen.

Apa yang saya tulis ini bukan tanda kemarahan saya terhadap tuan empunya rumah makan atau kepada tuan warung. Ketika saya melihat harga nasi campur yang terbaru ini menjadikan saya bernostalgia.

Bila harga sepinggan nasi campur naik maka saya teringat kembali di zaman saya membeli nasi campur ketika bersekolah dalam kampus Univesiti Malaya. Menu makan saya tidak pernah berubah. Masakan Melayu, India atau Cina di Malaysia juga tidak berubah.



Ketika itu nasi campur harganya dibawah RM2 sepingan. Semangkuk mee rebus hanya 60 sen dan secawan teh di kantin UM hanya 15 sen. Mee itik di restoran China di belakang panggung wayang Lido Brickfields harganya hanya RM1.20 sen – cukup untuk dua orang. Ini nostalgia saya tentang harga makanan.

Lalu saya berfikir panjang. Saya cuba membayangkan jiran saya – di Kampong Kerinchi atau Pantai Dalam atau yang duduk di flat Seri Kelantan atau Seri Pahang di Bangsar Utama. Rata-rata banyak yang berpendapatan di bawah RM2,000 sebulan. Dengan tiga anak yang masih bersekolah dan Sang Isteri sedang hamil, bagaimana agaknya jiran saya ini mengatur hidupnya? Bagaimana agaknya mereka berekonomi hidup dalam kota Kuala Lumpur ini yang semuanya wajib di beli?

Bulan lalu saya telah menjadi ahli panel di satu forum anak muda di Dewan Perhimpunan China Kuala Lumpur. Seorang YB ahli pemikir Parti Pas dan seorang bekas Profesor Undang-Undang telah turut sama menjadi ahli panel.

Kami sempat membincangkan tentang duit bantuan RM500 agihan kerajaan yang diterima oleh keluaraga yang berpendapatan di bawah RM3,000 sebulan. Apa yang menarik perhatian saya ialah dua orang ahli panel ini berkata bahawa duit RM500 ini akan habis dalam masa dua minggu.

Dua minggu? Saya terperanjat. Mata saya terbuka luas apabila saya mendengar perkataan ‘dua minggu’. Untuk saya si YB dan si Profesor ini tidak pernah turun ke pasar atau ke kedai membeli barang dapor. Mereka tidak sedar dan tidak tahu tentang nilai hakiki duit RM500 ini.

Saya berani berkata demikian kerana saya cukup arif tentang harga barang dapur. Ini kerana saya – walau pun hidup bersendirian – saya memasak dan makan tengah hari dirumah. Tidak seperti Sang YB atau Sang Profesor yang memiliki pembantu untuk ke pasar. Saya bershopping di pasar termurah dalam kota kita ini – di Chow Kit. Justeru saya kenal rapat hampir kesemua harga barang dapur. Saya tahu harga beras hancur RM2.75 sekilo, beras Siam RM5 sekilo, bawang besar RM3.70 sekilo, ubi kentang China RM 2.70,ubi kentang Belanda RM3.50. Manakala tomato, terung, lada besar – semuanya berubah-ubah mengikut musim. Musim hujan harga lada besar boleh meledak ke RM16 sekilo. Tomato boleh mencecah RM6.

Ikan kembong dari RM6 hingga RM12 sekilo. Ikan tenggiri boleh mencecah RM27 sekilo – lebih mahal dari daging segar. Udang kolam antara RM18 ke RM20 sekilo. Sotong dari RM16 ke RM24 sekilo. Ikan patin kolam RM5 sekilo. Ikan talapia hitam RM3 sekilo. Satu papan telur ayam kelas A harganya RM11.50. Semua ini hanyalah barangan asas untuk hidup yang tidak lumayan. Tidak ada barangan ‘lux’ seperti buah zaiton, keju, mentega atau krim. Tidak ada salmon, trout dan tuna dalam senarai shopping saya.



Apa yang ingin saya nyatakan disini ialah RM500 untuk satu keluarga akan habis untuk sekali shopping sahaja. Apa yang ingin saya paparkan disini ialah kenaikan harga barangan dapur telah menjadikan nilai gaji yang diterima oleh buruh dan pekerja terus merosot. Ertinya kalau dahulu dengan RM200 mungkin boleh berbelanja ke pasar untuk dua minggu. Hari ini dengan RM200 mungkin tidak sampai lima hari.

Ura-ura kerajaan untuk memperkenalkan Cukai Khidmat – Good & Services Tax – pasti akan memberatkan lagi kehidupan majoriti rakyat negara ini. Hujah kerajaan ialah; siapa menggunakan barangan tersebut maka si pengguna wajib dicukai. Sekali dengar bunyinya cukup adil. Tetapi dibelakang hujah ini ada racun manis. Apabila cukai ini diperkenalkan, kerajaan juga telah berjanji untuk mengurangkan cukai peribadi (personal taxes) dan cukai korporat (corporate taxes)

Apa maknanya pengurangan cukai peribadi dan cukai korporat? Ini bermakna orang kaya akan kurang membayar cukai. Ianya juga bermakna syarikat-syarikat akan dikurangkan dari membaya cukai, walaupun keuntungan mereka berlipat ganda. Mengikut hujah yang menyokong dasar ini – jika badan korporat ini dikurangkan cukai, maka mereka berkeupayaan melabur kembali untuk merangsang ekonomi.

Sebenarnya Cukai Khidmat ini akan dibebankan kepada orang yang berpendapatan rendah. Warga yang tidak mampu membayar cukai akan diwajibkan membayar. Dasar inilah yang telah dan sedang dijalankan di Greece, Portugal dan Itali. Hasil dari dasar ini telah kita lihat Pak Cik dari Greek dan Mak Cik dari Itali itu tidak memiliki kesanggupan untuk terus hidup. Kos kehidupan semakin melonjak.

Di Kuala Lumpur – nasi campur yang dulunya – nasi ekonomi – kelihatan bertambah mahal. Ini bukan bermakna saya akan membunuh diri minggu hadapan kerana harga nasi campur telah naik menjadi RM7 sepinggan.

Apa yang ingin saya nyatakan ialah, politikus dan para YB yang membuat dasar sebenarnya mereka tidak tahu harga sekilo beras atau harga sesisir pisang. Mereka hanya bijak membuat dasar. Saya masih menunggu untuk melihat bilakah agaknya para YB dan para Menteri yang membuat dasar ekonomi negara akan bershopping tengah malam di Chow Kit untuk membeli seikat kangkung.

Hishamuddin Rais

kl-today

KONGSI ARTIKEL INI MELALUI FACEBOOK

KOMEN
0 KOMEN

0 komen (Sila komen sikit..):

Catat Ulasan

Sendiri mau ingat...

LISTEN TO AL-QURAN ONLINE

Listen to Quran

Blog Archive