Dey Macha

dsp160519

dsp231112
IKLAN BANNER RM30-TEKS RM10 SEBULAN biaqpila(at)gmail.com



Sabtu, November 06, 2010

MB: Landasan berkembar punca banjir buruk di Kedah

Nov 5, 10


Kerajaan PAS Kedah mendakwa banjir buruk yang kini melanda negeri ini adalah disebabkan kerja pembinaan landasan kereta api berkembar yang sedang berjalan.

Sehubungan itu, kerajaan negeri menggesa kontraktor landasan kereta api berkembar itu, MMC-Gamuda Joint Venture (Gamuda) membesarkan saliran air supaya air banjir dapat disalirkan ke sungai dengan cepat.

Menteri Besar Datuk Seri Azizan Abdul Razak berkata semasa banjir besar lima tahun lepas, kawasan Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim dan beberapa kawasan lain tidak pernah ditenggelami air, tetapi sejak pembinaan landasan kereta api berkembar, banjir yang melanda Kedah semakin buruk.

"Kami panggil mereka (Gamuda) datang mesyuarat dengan kita hari ini, tetapi mereka tidak datang. Jika mereka tidak datang juga, saya akan arahkan pihak Jabatan Pengairan dan Saliran untuk membuka laluan air itu dengan segera.

"Kami mahu berbincang dengan pihak Gamuda tentang perkara ini supaya masalah ini dapat diatasi dengan segera," katanya selepas mesyuarat perkembangan banjir
di Wisma Darulaman hari ini.

Dalam perkembangan lain, Azizan berkata bekalan air di daerah Padang Terap, Kota Setar (dari Kepala Batas hingga pusat bandar, Jalan Putra, Gunung, Jalan Langgar dan Hutan Kampung) dan Kubang Pasu (Tanah Merah, Taman Kepala Batas, Jalan Kampung Naga dan Taman Tabung Haji) telah pulih sepenuhnya.

"Bagi daerah Pokok Sena, bekalan air bertambah baik. Petang ini, kita akan menerima 10 lori tangki dan sebuah lori besar air minuman dari Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) dan sembilan lori tangki daripada Lembaga Air Perak," katanya.

Beliau berkata Syarikat Air Darul Aman telah menyediakan 89 tangki air kepada orang ramai.

Azizan berkata beliau amat berpuas hati dengan kerjasama yang diberikan oleh pejabat daerah, bomba, polis, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia, pasukan sukarela, Jabatan Kebajikan Masyarakat dan agensi kerajaan pusat dan negeri dalam menangani bencana itu.

Beliau berkata kerajaan negeri telah menambah peruntukan bencana sebanyak RM300,000 lagi menjadikan jumlah keseluruhan yang diperuntukkan ialah RM600,000
dan jumlah itu akan ditambah lagi jika keadaan memerlukan.

Sementara itu, jumlah penduduk yang dipindahkan di Kedah kerana banjir meningkat kepada 39,512 orang pagi ini berbanding 32,990 orang malam tadi berikutan peningkatan mendadak mangsa banjir di Kubang Pasu dan Alor Setar.

Bagaimanapun, semakin ramai mangsa banjir di Daerah Padang Terap yang dibenarkan pulang.

Mangsa di tiga daerah iaitu Kubang Pasu, Kota Setar dan Pendang terus meningkat.

Di Kubang Pasu, jumlah penduduk yang dipindahkan meningkat kepada 21,111 orang melibatkan 5,740 keluarga manakala di daerah Kota Setar, seramai 15,736 orang (4,047 keluarga) dan di daerah Pendang pula 241 orang (60 keluarga).

Mangsa banjir di Padang Terap berkurangan kepada 657 orang berbanding 2,279 orang malam tadi melibatkan 204 keluarga dan daerah Pokok Sena juga menunjukkan penurunan daripada 1,868 orang kepada 1,767 orang melibatkan 313 keluarga.

Jurucakap bilik gerakan Majlis Keselamatan Negara berkata sehingga pukul 8 pagi ini, 100 pusat penempatan mangsa banjir dibuka dan daripada jumlah itu, 50 adalah di Kubang Pasu, 10 di Padang Terap, 32 di Kota Setar, tujuh di Pokok Sena dan satu di Pendang.

Katanya keadaan di Padang Terap bertambah baik dengan 2,722 orang daripada 339 keluarga dibenarkan pulang ke rumah masing-masing secara berperingkat manakala 10 pusat pemindahan ditutup.

Tinjauan Bernama di kawasan sekitar bandaraya Alor Setar mendapati semakin banyak jalan raya dan premis kerajaan digenangi air dan semakin banyak kediaman berdepan dengan gangguan bekalan air termasuk terputus bekalan.

Kawasan perkarangan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah dan juga pejabat Bernama Biro Kedah, kedua-duanya di Jalan Stadium, mula digenangi air.

- Bernama

2 ulasan:

  1. Buka je saliran air. Bior tenggelam kawasan keroje si "perampas" kerajaan PR Perak. Tak perlu mengaji tinggi2. Commonsense je. Bila saliran disumbat, tentu air melimpah. Noktah.

    BalasPadam

Sendiri mau ingat...

LISTEN TO AL-QURAN ONLINE

Listen to Quran

Blog Archive