Dey Macha

dsp160519

dsp231112
IKLAN BANNER RM30-TEKS RM10 SEBULAN biaqpila(at)gmail.com



Sabtu, Disember 04, 2010

Teka-teki tarikh pilihan raya awal

Oleh Ahmad Lutfi Othman

Usia Parlimen yang bermula selepas pilihan raya umum, Mac 2008, belum pun genap tiga tahun, atau lebih tepat 36 bulan. Tempoh Parlimen yang baru bermula daripada tarikh sidang pertama dijalankan, iaitu pada penghujung April 2008.

Ini bermakna kita ada lima bulan lagi sebelum genap tiga tahun usia Parlimen. Selalunya pilihan raya diadakan, paling awal pun, hanya selepas tempoh 36 bulan itu



 Sewaktu Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman menerajui kerajaan, Parlimen dibubarkan apabila mandat kerajaan hampir berakhir. Bagaimanapun, selepas Dr Mahathir mengambil alih pemerintahan, tempoh Parlimen hanya sekitar empat tahun sahaja.

Berdepan suasana politik yang begitu gawat dalam era reformasi, selepas memecat dan mengaibkan Anwar Ibrahim pada September 1998, Mahathir menasihatkan Yang di-Pertuan Agong agar membubarkan Parlimen ketika usia kerajaan hanya tiga tahun lima bulan.

Penggantinya, Abdullah Ahmad Badawi dilihat tidak begitu terdesak untuk mengadakan pilihan raya awal selepas menang besar pada 2004, apatah lagi kedudukan ekonomi negara tidak memihak kepadanya, manakala isu kenaikan harga minyak menjadi bualan ramai dan menimbulkan keresahan umum, namun beliau terpaksa memilih Mac 2008,antaranya, bagi menghalang Anwar bertanding dalam pilihan raya umum ke-12 itu.

Meskipun Abdullah terpaksa berundur lebih awal sebagai perdana menteri dan presiden Umno, ekoran prestasi buruk BN dalam pilihan raya berkenaan, beliau tetap diingati sebagai negawaran yang bersedia memberikan tempoh berkempen yang lebih lama, iaitu 13 hari. Minggu pertama kempen dilihat begitu suram tetapi kembali panas dan mendebarkan beberapa hari sebelum pengundian.

Dalam beberapa pilihan raya umum sebelum itu, tempohnya tidak pernah melebihi sepuluh hari, malah ada yang sesingkat lapan hari, sekadar mencukupi tempoh minimum tujuh hari. Selain mencatatkan tempoh berkempen paling pendek, Dr Mahathir juga pernah mengadakan pilihan raya umum semasa musim haji! Kita mengharapkan tempoh kempen nanti boleh dilanjutkan sehingga 21 hari.

(Sebagai pengamal media dan "membesar" bersama Harakah, saya sentiasa mengenang satu lagi "sumbangan" Abdullah, iaitu mengembalikan penerbitan Harakah kepada dua kali seminggu, berbanding Dr Mahathir yang mencantas lidah rasmi PAS itu kepada kekerapan hanya dua kali sebulan, selepas dikejutkan dengan keputusan pilihan raya umum,November 1999).

Tarikh pilihan raya sentiasa menjadi senjata buat pemerintah mengaut keuntungan politik semaksimum mungkin. Memang keputusan muktamad berada di tangan Agong, namun jarang kehendak Perdana Menteri yang juga Pengerusi BN tidak dilayan.

Bagaimanapun pilihan raya umum ke-12 mengajar kita bahawa mood pengundi kini sukar diramal, tidak sepertimana sebelum ini yang agak mudah ditelah atau dibaca.Kebijaksanaan rakyat menggunakan hak memilih kerajaan baru melalui peti undi agak luar biasa. Agensi perisik profesional, apatah lagi peramal amatur, pun boleh dikelirukan.

Najib memang ada kelebihan sebagai perdana menteri baru, mungkin mengulangi faktor sama yang ada pada Abdullah pada pilihan raya 2004. Begitu pun, suasana enam tahun lalu sudah jauh berbeza dengan apa yang dihadapi Najib sekarang. Imej Abdullah begitu menyerlah ketika itu. Tempoh lima bulan selepas menggantikan Mahathir dihiasidengan pelbagai slogan muluk dan tindakan kosmetik yang mengkagumkan!

Sewaktu mengetuai kempen BN dalam pilihan raya umum ke-11, Abdullah belum terpalit dengan dakwaan amalan kronisme dan pilih kasih, sehingga timbul istilah "4K" dan penguasaan "Tingkat 4" ke atasnya. Mahathir juga mungkin tidak terfikir untuk melancarkan serangan terbuka terhadap Abdullah. Nama Khairy Jamaluddin, Kalimullah Hassan atau Patrick Lim (lebih dikenali sebagai Patrick Badawi) belum cukup popular untuk menghakis sokongan pengundi kepada BN.

Apakah imej Najib kini sebaik Abdullah di awal pemerintahannya dahulu? Bagi saya, tidak. Laluan Najib tetap sukar. Selama 20 bulan menjadi PM, beliau sudah terpalit dengan pelbagai cerita negatif. Usah melihat siri pilihan raya kecil di Galas dan Hulu Selangor sahaja. Imbangi juga dengan kegagalan BN mempertahankan kerusi di Kuala Terengganu dan Sibu.

Menarik sekali ingatan Dr Koh Tsu Koon kepada pemimpin BN terhadap kemenangan berganda baru-baru ini: "Seperti kata pepatah, kehadiran dua ekor burung pipit bukan bererti musim bunga sudah tiba. Ini kerana mungkin haiwan terbabit berada di situ disebabkan terselamat daripada cuaca dingin musim sejuk yang masih lagi belum berakhir."

Isu pembunuhan Altantuya Shariibuu mungkin tidak begitu menarik imiginasi pengundi lagi, tetapi bagaimana dengan kes rasuah berkaitan pembelian senjata, misalnya? Lebih jauh daripada itu, amalan politik Umno-BN yang bersebati dengan korupsi tetap terasa hanyir. Beberapa pendekatan barunya seperti konsep 1-Malaysia mungkin bertujuan menarik kembali sokongan pengundi bukan Melayu, namun sikap perkauman Umno juga semakin terserlah.

Tidak kurang juga yang mengkritik slogan baru Najib yang dilihat belum sempat difahami dengan baik oleh rakyat. Kontrak kerajaan masih diagihkan secara rundingan terus kepada elit penguasa dan suku-sakat mereka, walaupun dilaungkan ia dibuat secara tender terbuka.

Paling menonjol, isu yang mengheret Abdullah kecundang lebih awal, iaitu faktor "penasihatnya" yang tamak dan sombong turut melumurkan kesan negatif buat wajah Najib. Bedanya, tiada "Khairy atau Kalimullah" yang menonjol dalam pemerintahan Najib tetapi rakyat muak dengan karenah dan "kelaku" isterinya, Rosmah Mansor. Ketamakan "Wanita Pertama" itu lebih menjolok mata dan menjengkelkan.

Najib mengakui selepas melakukan transformasi ekonomi dan sistem dalam kerajaan, tumpuannya menjurus kepada penambaikan politik. Siri jelajahnya ke seluruh negara sebagai Presiden Umno akan bermula. Ada pihak menjangkakan tumpuan diberikan kepada negeri-negeri di bawah Pakatan Rakyat, terutama Kedah dan Selangor. Mungkin Kelantan dan Pulau Pinang agak sukar direbut dalam pilihan raya akan datang.

Apabila isu banjir terburuk di Kedah dipolitikkan sebegitu rupa, sehingga menimbulkan kemarahan Menteri Besarnya, Ustaz Azizan Abdul Razak, yang selama ini jarang menuturkan sesuatu yang menyakitkan pemimpin kerajaan Pusat, maka ia mendedahkan tembelang Umno yang begitu gelojoh mencari jalan pintas walaupun dengan taktik kotor. Begitu juga dengan serangan bertubi-tubi di Selangor.

Elok juga diuar-uarkan kemungkinan pilihan raya lebih awal. Pakatan Rakyat harus meneliti persiapan dan ketahanan diri. Usah pandang mudah isu-isu dalaman yang dipamerkan media. Rakyat kini mahu memilih kerajaan yang lebih kredibil, bukan lagi menyokong pembangkang yang kuat. Jangan biarkan "jentera BN" memesongkan persepsi mereka.

Apa pun harus diingat, laluan Pakatan ke Putrajaya masih berliku sekiranya tiada lonjakan sokongan pengundi baru ataupun masyarakat Melayu desa terhadapnya. Saya tidak begitu bimbang pengundi Cina beralih angin mengulangi teori pendulum, namun "simpanan tetap" BN di Sabah dan Sarawak belum ada tanda-tanda akan terusik. Lebih merisaukan adalah dengan kecenderungan masyarakat India.

Namun segalanya masih boleh diubah dan dipengaruhi, kan?



DD

KONGSI CERITA INI MELALUI FACEBOOK

KOMEN
0 KOMEN

0 komen (Sila komen sikit..):

Catat Ulasan

Sendiri mau ingat...

LISTEN TO AL-QURAN ONLINE

Listen to Quran

Blog Archive