Oleh: Shirzad Lifeboat
Setiap kali PAS mengadakan muktamar tahunannya, ia merupakan ingatan kepada umum betapa usia PAS adalah lebih dari usia Merdeka. Tahun ini PAS mengadakan muktamarnya kali ke-57. Bermakna muktamar pertamanya telah diadakan tiga tahun sebelum negara mencapai kemerdekaan.
Sekiranya tempoh kewujudan sesebuah organisasi politik turut memberi semacam makna kepada pembikinan dan pembentukan sesebuah negara, tidak kira sama ada ia lebih lama wujud dan terserlah sebagai sebuah parti oposisi atau hanya pernah berjaya menubuhkan kerajaan di peringkat negeri, maka PAS sudah tentu turut memenuhi kedudukan antara paling utama dalam senarai parti dan organisasi politik sedemikian.
Hakikat sejarah menunjukkan UMNO cukup dominan dalam menguasai kerajaan Persekutuan dan kebanyakan kerajaan negeri. Tidak mustahil disebabkan keadaan yang terlalu dominan dan terlalu lama ini menyebabkan ahli dan pemimpin UMNO merasakan kuasa politik adalah seolah-olah hak mutlak mereka dan hanya mereka yang layak dan berhak memerintah.
Dan tidak juga dinafikan dalam tempoh lebih dari setengah dekad itu, UMNO turut membentuk minda politik umum. Namun pada penghujung tempoh berkenaan apakah pembentukan minda politik umum yang dipupuk oleh UMNO itu sebenarnya telah memberikan sumbangan besar kepada proses pembikinan bangsa dalam erti kata sebenarnya?
Dari segi politik, UMNO budaya memomokkan rakyat, kalau tidak UMNO yang memerintah, negara ini akan menjadi kucar kacir dan sebagainya.
Dari segi perpaduan kaum, UMNO bercakap kononnya ia mewakili semua kaum tetapi dalam waktu yang sama ada ada pemimpin UMNO yang sentiasa mengungkit soal-soal ‘ketuanan Melayu’ dan sebagainya sehingga mencerakan hati kaum lain. Tak cukup dengan itu UMNO menggunakan media miliki mereka yang dinasionalisasikan dengan cara tidak adil menerusi penafian media cetak milik organisasi politik lain selain UMNO dan mana-mana parti komponen BN untuk bukan sahaja mempromosikan parti secara tidak beretika tetapi memupuk budaya memperlekehkan parti lain dengan membelakang adab dan kesopanan Melayu.
Kalau nak diceritakan tentang segala pembentukan budaya negatif yang bertentangan dengan pembangunan minda siasah yang sihat rasanya, semua ruang dalam halaman akhbar ini pun tak memadai.
Namun hal sebaliknya dialami oleh PAS dan rakyat termasuk rakyat yang tidak menyokong PAS tetapi tidak taksub dan tidak mudah dirasuk oleh pembudayaan yang dilakukan oleh UMNO.
Dalam tempoh 57 tahun dan meredah beberapa generasi, budaya Islam yang diperkenalkan oleh PAS dalam siasah Malaysia dan secara beransur-ansur diterima oleh rakyat bukan Islam sebagai wawasan pemerintahan paling adil dan saksama bukan sahaja berdiri betul-betul berdepan dan bertentangan dengan apa yang telah dibawa oleh UMNO selama itu tetapi kian menjadi ancaman kepada parti itu.
Kebetulan pada muktamar kali ini PAS turut mengadakan pemilihan pucuk pimpinan parti. Sejarah 57 tahun PAS menunjukkan PAS belum sekalipun lagi menangguhkan pemilihan pucuk pimpinan parti atas alasan kononnya bagi mengelakkan perpecahan dalaman atau bagi memberi ruang masa mencukupi untuk persediaan menghadapi pilihanraya umum.
Justeru umum melihat PAS sebagai sebuah parti yang memegang prinsip. Sekiranya orang Islam perlu memegang janji mereka pada Allah, dengan mengerjakan perintah-Nya dan meninggalkan larangannya, maka mereka juga harus memegang janji dengan manusia. Oleh itu sekiranya undang-undang bersabit perjalanan sesuatu pertubuhan mengkehendaki pemilihan anggota jawatankuasa induk diadakan setiap tiga tahun sekali maka PAS tidak mempunyai masalah untuk mematuhinya.
Walaupun dalam muktamar PAS kali ini menyaksikan pertandingan semua jawatan penting dalam parti kecuali jawatan Presiden dan digambarkan oleh pelbagai media yang berkiblat kepada UMNO sebagai kononnya terdapat pengaruh luar yang mahu memecah belahkan ukhwah dalam PAS dan lanjutan dari analisis cetek itu sebagai tanda-tanda awal kononnya parti akan lemah.
Namun begitupun, umum yang kebetulan membaca analisis seperti ini lebih mengetahui bukan sahaja tentang kejituan ukhwah dalam PAS tetapi lebih penting lagi ialah kefahaman tentang perang psikologi yang cuba dilancar atau dipermodalkan oleh UMNO bagi menunjukkan PAS juga terjebak dalam perebutan jawatan.
Bagi PAS sendiri soal perebutan jawatan tidak timbul. Ia hanyalah satu proses demokrasi dalam parti sebagaimana kehendak dan dibenarkan oleh undang-undang. Dan PAS juga tidak perlu membuat perbandingan atau membuat kenyataan rasmi atau tidak rasmi betapa yang sering berebut sehingga parti sendiri dikuburkan oleh mahkamah adalah UMNO.
Walaupun ada yang melihat PAS sebagai sebuah parti konservatif tapi PAS juga dilihat sebagai parti yang cukup teliti dalam urusan kepartian sehingga belum ada lagi cawangan atau bahagiannya yang tidak didaftarkan di bawah undang-undang sehingga menjejaskan kewujudan parti sebagai yang berlaku ke atas UMNO yang ditubuhkan pada tahun 1946.
Walaupun ada usaha agar PAS dilarang menggunakan nama Islam dalam nama parti tetapi usaha itu gagal. Anehnya tidak ada pula usaha dari mana-mana pihak berwajib mengambil tindakan terhadap UMNO kerana gagal menggunakan perkataan (Baru) pada namanya sehingga seolah-olah menipu umum tentang kedudukan parti itu sebenarnya.
Muktamar kali ini mengingatkan umum betapa PAS sentiasa memelihara demokrasi dalam parti. Seperti yang telah lalu hanya dua pencalonon diperlukan bagi membolehkan seseorang itu bertanding mana-mana jawatan dalam parti. Tentu ramai masih ingat bagaimana UMNO menetapkan jumlah pencalonan yang tidak munasabah untuk bertanding jawatan dalam parti mereka.
Tapi itulah UMNO. Itulah demokrasi UMNO. Dan itulah juga demokrasi sebagaimana yang difahami oleh orang UMNO dan diajar oleh pemimpin UMNO sebelumnya.
Muktamar PAS yang diadakan setiap tahun terus mengingatkan UMNO betapa PAS terus mengumpul kekuatan dari masa ke masa. Sampai bila UMNO mahu berpura-pura tidak takut dengan kemaraan PAS? Lambat laun segala-galanya pasti terbongkar jua.
DD
SUDAHKAH ANDA MENGUNDI? KALAU BELUM,SILA UNDI BIAQPILA SEKARANG...SEKALI-SEKALA,APA ADA HAL KAN?