LONDON - Andre Villas-Boas (gambar) akhirnya dilantik menjadi pengurus ketujuh Chelsea dalam tempoh lapan tahun semalam.
Bekas pengurus Porto yang meletak jawatan di kelab itu kelmarin akan menyertai kelab Liga Perdana England tersebut dengan kontrak selama tiga tahun.
Villas-Boas, 33, yang seringkali disamakan dengan rakan senegara dan bekas pengurus Chelsea, Jose Mourinho akan memulakan tugas serta merta di kelab London itu.
Villas-Boas akan menggantikan tempat Carlo Ancelotti sebagai pengurus di Stamford Bridge selepas penggendali dari Itali itu dipecat pada hari terakhir musim lalu.
Ancelotti dipecat selepas dia gagal membantu Chelsea memenangi sebarang gelaran musim lalu meskipun berjaya merangkul gelaran berganda iaitu trofi Liga Perdana England dan Piala FA pada tahun sebelumnya.
"Villas-Boas adalah calon terbaik untuk jawatan itu," menurut satu kenyataan yang dikeluarkan Chelsea semalam.
"Dia adalah pengurus muda paling berbakat dalam arena bola sepak hari ini dan sudah berjaya mencapai kejayaan cemerlang dalam tempoh yang singkat.
"Cita-cita, gaya dan keazaman yang dimiliki Villas-Boas selari dengan Chelsea dan kami yakin dengan kepimpinannya, pasukan ini akan memperoleh keputusan yang lebih baik, sekali gus mencapai kejayaan dalam liga domestik serta Eropah."
Kontrak Villas-Boas bersama Porto telah ditamatkan selepas Chelsea membayar 15 juta euro (RM 65.4 juta) untuk membatalkan klausa daripada juara Portugal itu.
Oleh kerana Villas-Boas tidak pernah merasai saingan Liga Juara-Juara, pelantikan itu mungkin berdepan risiko kerana pemilik skuad The Blues, Roman Abramovich sudah lama menyimpan hasrat untuk memenangi kejohanan kelab elit Eropah itu.
Bagaimanapun, Villas-Boas dianggap sebagai calon yang paling sesuai kerana dia seringkali disamakan dengan Mourinho yang ketika ini membimbing Real Madrid.
Ketika ini, Mourinho boleh dianggap sebagai pengurus paling berjaya di Eropah.
Untuk rekod, Claudio Ranieri, Mourinho, Avram Grant, Luiz Felipe Scolari, Guus Hiddink dan Ancelotti pernah menduduki 'kerusi panas' itu sejak Abramovich mengambil-alih Chelsea pada tahun 2003.
- AFP
SUDAHKAH ANDA MENGUNDI? KALAU BELUM,SILA UNDI BIAQPILA SEKARANG...SEKALI-SEKALA,APA ADA HAL KAN?