Selain menyanyikan lagu propaganda ciptaan bekas pengarah Biro Tatanegara (BTN) yang tidak asing lagi, Anak Kecil Main Api, perwakilan Umno yang seramai 2,297 orang yang berada di dalam Dewan Merdeka sebenarnya tidak mampu lagi menahan perasaan mengenangkan bagaimana kedudukan parti itu yang semakin ditolak bangsa sendiri gara-gara ratusan skandal dan penyelewengan kuasa yang dilakukan pemimpin parti itu sendiri.
Gambar yang diambil dari keratan akhbar pengampu nombor satu Umno, Utusan Malaysia ini menunjukkan sebahagian perwakilan Umno bahagian Najib Altantuya sendiri di Pekan, Pahang, menangis mengeluarkan air mata buaya masing-masing kerana kunun sungguh terharu dengan nyanyian seorang perwakilan Umno luar negara sebelum ucapan penggulungan pada hari penutup persidangan agung Umno (PAU) yang berakhir semalam.
Sebenarnya, perwakilan Umno yang mendengar ucapan pemimpin nombor satu mereka sepatutnya menangis terhadap diri sendiri kerana sanggup dibiarkan ditipu hidup-hidup tanpa mendapat sebarang ganjaran kebendaan jauh sekali wang ringgit yang sudah diagihkan sesama anak beranak pemimpin parti mereka sendiri.
Jelas terbayang di wajah masing-masing perwakilan Umno kini sangat gusar dan bimbang terhadap penerimaan dan sokongan rakyat terhadap parti itu yang kunun memperjuangkan bangsa, agama dan negara.
Ahli Umno barangkali tidak berani mempersoalkan skandal-skandal yang melingkari pemimpin mereka seperti ketua wanita Umno, Shahrizat Jalil yang mana keluarganya menyalahgunakan peruntukan RM250 juta NFC bagi membeli hartanah mewah di Singapura dan Bangsar, Kuala Lumpur.
Ucapan Najib Altantuya yang berkisar tentang kebimbangan berlakunya sabotaj terhadap parti itu oleh ahlinya sendiri tidak mampu diterjemahkan ke dalam bentuk tindakan kerana masing-masing tahu menjadi calon pilihanraya adalah tiket paling mudah untuk memperoleh kekayaan dan kemahsyuran segera.
Walaupun mendapat tepukan gemuruh perwakilan yang pada awalnya teruja dengan ucapan berapi Najib Altantuya yang menjanjikan kemenangan majoriti dua pertiga dalam pilihanraya umum akan datang, hakikatnya mereka sebenarnya berada dalam keadaan amat defensif mempertahankan kekuasaan yang terlalu lama dinikmati sejak mencapai kemerdekaan dari tangan British pada 1957.
Tetapi sebaik saja nada ucapannya berubah, seakan merayu umpama pengemis kuasa yang masih tamak dengan nikmat yang diperolehi sejak 55 tahun lalu, perwakilan Umno tiba-tiba berpijak di bumi nyata apabila Najib Altantuya mengingatkan sekiranya Umno dan Barisan Nasional (BN) terlepas kuasa, ini bermakna hampir kesemua pemimpin atasannya bakal berdepan dengan sesi naik turun mahkamah apabila Pakatan Rakyat berkuasa kelak.
Sambil berharap rakyat yang dipaksa menyaksikan siaran langsung di kaca televisyen membuka mata dan minda terutama orang Melayu, Najib Altantuya terlupa hakikat sebenar bahawa kuasa yang semakin bersisa tidak mampu dikecapi lagi walaupun berjuta permohonan maaf dilafazkan terhadap rakyat yang semakin membuka mata dan telinga menerima perubahan politik yang tidak pernah diimpikan selama ini.
Bukan setakat melambangkan ini merupakan perhimpunan terakhir Umno sebelum pilihanraya umum bahkan lebih bermakna lagi, ia juga merupakan perhimpunan terakhir parti yang ditubuhkan semula pada 13 Februari 1988 setelah diharamkan oleh Mahkamah Tinggi 10 hari sebelum itu berada di puncak kuasa kerana pastinya untung nasib mereka kini terletak di tangan 13.2 juta rakyat Malaysia yang tidak sabar lagi untuk menghukum kezaliman mereka merompak harta rakyat sesuka hati.
Teriaklah beribu kali takbir, ucapkanlah jutaan maaf dan serulah gegak gempita mengatakan Umno pejuang orang Melayu, tetapi rakyat sudah mengetahui pembohongan yang terus dilakukan pemimpin Umno tanpa sedetik pun rasa bersalah jauh sekali berdosa mengkhianati amanah rakyat yang telah diberikan selama lebih daripada setengah abad lalu.
Tangisan Najib Altantuya umpama simbolik Umno bakal kehilangan kuasa bukan setakat di empat buah negeri malah bakal menjalar ke seluruh pelusuk negara tidak lama lagi.
Selamat tinggal Umno!
JALAN PULANG
jalanpulang1978