Dey Macha

dsp160519

dsp231112
IKLAN BANNER RM30-TEKS RM10 SEBULAN biaqpila(at)gmail.com



Selasa, Mac 23, 2010

Bila sudah bercerai

Oleh Zukri Aksah


Isteri saya seorang peguam syarie, yang beramal melalui firma guaman syarie miliknya sendiri. Antara kes terbanyak yang dibawanya adalah kes perceraian, juga kes-kes selepas perceraian seperti tuntutan nafkah, anak dan harta sepencarian.

Sepanjang yang saya lihat biasanya perceraian berlaku kerana sebab-sebab semasa, bukan kerana ketidakpuashatian yang panjang dalam tempoh perkahwinan. Contohnya seperti tiba-tiba diketahui suami berkahwin dua, suami hilang sumber pendapatan utama, pertengkaran, kehadiran pihak ketiga sama ada di pihak isteri atau suami dan sebagainya.

Tetapi bila sudah masuk mahkamah panjang pula ceritanya. Kalau asalnya bekas isteri memohon cerai fasakh kerana suaminya berkahwin dua, bila dalam mahkamah perinciannya menjadi panjang lebar, diungkit segala macam perkara yang berlaku dalam perkahwinan. Kononnya si suami tidak pernah memberi nafkah zahir kepadanya, walhal dia datang ke mahkamah dengan keadaan fizikal yang cukup sihat walafiat, tiada pula tanda-tanda tidak cukup makan.

Maka dituntutlah macam-macam, tunggakan nafkah, nafkah edah, mutaah dan sebagainya. Si bekas suami pula, untuk mengelak dari dihukum bersalah dalam hal ini, mendakwa si bekas isteri tiadalah berhak untuk mendapat semua ini, kerana si bekas isteri telah nusyuz kepadanya sewaktu dalam perkahwinan. Bukan susah membawa cerita, diberitahulah pada satu malam dalam perkahwinan kerana tidak mahu lepas satu rancangan televisyen, si bekas suami melaung dari tengah rumah, “Yang, buat kopi panas secawan!” Si isteri yang baru mahu duduk selepas meletak kain yang dilipat dalam almari sudah naik angin, “Uhhhh! Tangan ada, sudu ada, gula ada, kopi ada, air ada, abang pergi buat sendirilah.”

Begitulah kisah selepas bercerai, semua keburukan mahu diungkit, padahal mereka bukan bercerai kerana itu, bukan kerana wang-ringgit, makan-pakai mahupun kopi secawan. Perceraian bukan hanya berlaku dalam perkahwinan, ia juga berlaku dalam perhubungan politik. Bila perhubungan politik tercerai, maka sama seperti perceraian perkahwinan, emosi marah membawa kepada terungkitnya cerita buruk dalam kelambu, dalam kain masing-masing.

Inilah yang kita saksikan mutakhir ini, kita dipersembahkan dengan gelagat buruk orang bercerai politik, seperti Salehuddin Hashim, Zahrain Hashim (maaf, mereka bukan adik-beradik), Zulkifli Noordin, Mohsin Fadzli Samsuri dan Tan Tee Beng, seorang bekas Setiausaha Agung dan empat Ahli Parlimen dari PKR.

Biasalah selepas bercerai, semua tidak kena, semua tidak baik, diungkit segala serba mak nenek, seolah-olah parti yang mereka wakili selama ini tiada kebaikan langsung, walaupun saya percaya setiap seorang dari mereka ini hanya ada satu sebab mengapa mereka bercerai dengan parti mereka. Dalam kelantangan dan kelancangan mereka, terutama yang bergelar Ahli Parlimen, mereka terlupa sekurang-kurangnya satu kebaikan bekas parti mereka itu, bekas parti merekalah yang memberi peluang kepada mereka menjadi calon pilihanraya, Presiden bekas parti merekalah yang menyerahkan watikah bagi membenarkan mereka bertanding, pekerja bekas parti dan parti sahabat merelah yang bertungkus-lumus siang dan malam sepanjang tempoh kempen sehinggalah meraih dan merayu undi untuk mereka ketika hari pengundian, sampailah mereka menang dan bergelar Ahli Parlimen.

Biasalah juga selepas bercerai, bekas parti mereka ini dakwa mereka tiada jasa, buat apa mereka mahu letak jawatan, jawatan Ahli Parlimen mereka itu amanah rakyat katanya. Amanah rakyat? Pooorahhh… Mereka lupa mereka mendapat kepercayaan rakyat dahulu sebab parti meletakkan mereka di situ sebagai calon. Sebelum mereka mendapat kepercayaan rakyat, terlebih dahulu mereka mendapat kepercayaan parti. Lalu sebagai calon yang menang kemudiannya dan bergelar Ahli Parlimen, mereka sebenarnya membawa dua amanah, amanah parti dan amanah rakyat. Ingat! Di kertas undi tempohari bukan hanya ada nama Zahrain Hashim, Zulkifli Noordin, Mohsin Fadzli Samsuri dan Tan Tee Beng sahaja, tetapi di sebelah setiap nama mereka, ada lambang parti yang mereka wakili. Rakyat memberi amanah kepada mereka atau kepada parti? Dan sekarang mereka khianat kepada siapa?

Sama seperti pasangan berkahwin yang bercerai, orang yang bercerai politik ini juga menuntut macam-macam, mendakwa macam-macam. Ada yang tuntut Anwar letak jawatan sebagai Ketua Pembangkang, tuntut Wan Azizah letak jawatan, mendakwa Lim Guan Eng diktator, cauvinis dan komunis, peliknya di antara lima yang keluar dari PKR, yang membuat tuduhan inilah yang keluar dengan imbuhan paling besar, keluar dengan gelaran Datuk Seri! Dan untuk mendapat gelaran tersebut, namanya mestilah dicadang oleh Lim Guan Eng sendiri kepada Yang DiPertua Negeri Pulau Pinang!

Tidak cukup dengan ini, si Zahrain Hashim mengamuk pula di Parlimen, mendedahkan (kononnya) perancangan “rampasan kuasa” 16 September Anwar Ibrahim. Katanya Anwar Ibrahim kemaruk mahu menjadi Perdana Menteri Malaysia ke-6, habis semua orang mahu dilibatkannya, Timbalan Speaker, Ahli-Ahli Parlimen BN, tentera, juga Yang DiPertuan Agung. Sikap ini samalah dengan sesetengah bekas suami atau isteri yang bercerai, kerana tidak puas-hati, semua mahu dikaitkannya, adik-beradiklah, ipar-duai, sepupu-sepapat, ibubapa, mertua sampailah kaum-kerabat jauh dan dekat serta rakan dan sahabat.

Menguatkan hujahnya ini, Zahrain cakap sebab itulah nombor plet kereta Anwar 6. Ehhh… salahkah itu, kalau tidak silap ingatan saya, sewaktu kempen PRU2008 yang lalu, antara poster PKR yang paling banyak bertebaran adalah poster Anwar Ibrahim Perdana Menteri Malaysia ke-6, ia senjata perang psikologi politik. Saya percaya poster ini banyak tertampal di Parlimen Bayan Baru sewaktu Zahrain Hashim bertanding di sana. Mahu tidak mahu, Zahrain terpaksa mengaku yang antara penyumbang kemenangannya di situ adalah kerana pengaruh psikologi poster tersebut. Untuk membuktikannya, Zahrain boleh sahaja menjadi politikus budiman seperti Shahrir Samad yang berani meletak jawatan sebagai Ahli Parlimen Umno Johor Bharu, kemudiannya bertanding semula sebagai calon bebas dan menang. Apakah Zahrain percaya BEBAS boleh memberi pengaruh psikologi sehebat itu kepada pengundi Bayan Baru?

PKR pula dalam usaha mempertahankan diri, menganggap mereka yang bercerai dan dicerai dari parti ini adalah Ahli Parlimen dan bekas pemimpin parti yang “nusyuz.” Sebahagiannya boleh dibuktikan kerana orang-orang seperti Zahrain, Zulkifli Noordin dan Tan Tee Beng sudah berlagak meninggikan suara sejak sebelum menjadi bebas lagi. Orang nusyuz tidak berhak kepada harta, wa’ima tempat tinggal sekalipun. Tempat tinggal mereka sekarang, Bayan Baru, Kulim Bandar Baru, Bagan Serai dan Nibong Tebal adalah tempat tinggal ketika mereka masih dalam PKR, Zulkifli Noordin yang sentiasa berkopiah itu mungkin boleh mengulas.

Cumanya, dalam kes perceraian perhubungan politik, tidak ada mahkamah syariah mahupun mahkamah sivil yang boleh mengadilinya, yang ada cumalah mahkamah rakyat, itupun bersidang lima tahun sekali sahaja.

tranungkite





KOMEN
0 KOMEN

0 komen (Sila komen sikit..):

Catat Ulasan

Sendiri mau ingat...

LISTEN TO AL-QURAN ONLINE

Listen to Quran

Blog Archive