A Samad Said
DUA minggu lalu saya kembara ke Kedah. Saya ke Memali sebenarnya. Saya menyukat degup jantung negara. Rancangan awalnya saya hanya ingin ke sebuah madrasah di Padang Lumat — berceramah syahdu sambil menderma buku. Tapi, terlanjur dekat, saya terindu ke Memali.
Selama ini saya hanya mendengar sejarah pilunya. Sekelompok pendakwah di situ diwarnakan sebagai penyebar ajaran sesat yang jati.
Dakwaan pedih itulah yang mendorong saya untuk mencari setitis kebenaran seputarnya. Kisah peristiwa Memali berdarah itu sebenarnya tertinggal di simpang jalan. Kita dipamerkan dua buah lukisan abstrak yang sangat berantakan. Dari sisi pemerintah, kelompok pendakwah ini 'sah' penyebar ajaran sesat. Tapi, dari sisi keluarga Allahyarham Ibrahim Libya, kelompok itu diluhuri perjuangan syahid.
Saya cuma ingin menaati pesanan Ka'ab bin Malik. Kebenaran sangat utama. Sahabat Rasulullah s.a.w itu bercakap benar. Ka'ab mengakui kesilapannya terlupa menyertai rombongan pejuangan syahid ke Tabuk. Allah Yang Maha Kuasa memaafkan dosa hambanya itu kerana ketulusan pengakuan hamba tersebut. Saya coba mengunyah iktibar di sebaliknya.
Dalam negara kita kini memang banyak kecuaian sedemikian. Lihatlah - terhidu wabak menyonglap dana; tersebar istilah berubah makna; terpercik ghaib enjin 'jet' sendiri; tertular pejuWang melelong diri.
Apabila kita mula ghairah menimbus kebenaran sebagai kepalsuan — dan serentak — menggali kepalsuan sebagai kebenaran, kita mereputkan akar peribadi bangsa. Jika berlanjut, kita bakal menjadi bangsa yang sebal.
Lihat, kita sudah jarang mengingati Visi 2020. (Adakah lagi wawasan itu?) Kita semakin jarang menyebut agenda pertingkat penduduk ke 40 juta. (Memang adakah dasar rasminya?) Kita mula melupai Islam Hadhari. (Apakah kini memang harinya terhad?)
Sebaliknya, dalam rahsia, kita mula mempertanya tentang kerugian bilionan di bawah kuasa dua orang bekas Perdana Menteri; berhujah tentang pencemaran makna 'royalti'; berdebat tentang mengapa selepas 6 Perdana Menteri Melayu berkuasa kita masih juga terpaksa menjerit Melayu terancam?
sedakasejahtera