
Pada hari Isnin 26 April, jam 4 petang, saya telah menerima panggilan  dari Ustadz Nasaruddin, Pemangku Ketua Pemuda PAS kawasan Shah Alam. Dia  memberitahu saya bahawa seorang remaja yang berumur 15 tahun telah  ditembak mati oleh Polis di Seksyen 11 Shah Alam awal pagi tadi.  
Penduduk sedang berkumpul di Surau Seksyen 11 untuk menunggu jenazahnya  dan semua menyuarakan ketidak puasan hati atas tindakan Polis. Remaja  berkenaan anak salah seorang ahli Qariah yang dikenali.  
Mendengar berita tersebut saya pun telah bergegas ke  Surau berkenaan dan mendapati sudah ramai berkumpul di situ. Saya  melihat ramai di antara mereka terdiri daripada remaja belasan tahun.  Sebahagian dari mereka menunggu di luar kawasan Surau sambil sebahagian  yang lain berada di dalam kawasan Surau tersebut. Setiba sahaja saya, qamat Salat Asar telahpun didengari dan Salat hendak dimulakan.  
Saya mengambil wudu’ dan seterusnya menyertai jemaah. Setelah selesai salat, saya mendapatkan penjelasan dari Ustadz Nasaruddin mengenai apa yang telah berlaku. Beberapa orang turut mendengar dan memberi penjelasan  termasuk seorang penduduk yang telah menyaksikan sendiri peristiwa  berkenaan kerana kereta yang dipandu arwah terbabas di hadapan rumah  beliau.  
Mengikut keterangan mereka, pada jam lebih kurang 1.30  pagi, beberapa das tembakan telah kedengaran di jalan 11/2. Apabila  disiasat, didapati sebuah kenderaan sedang dikejar kenderaan polis.  Akhirnya kenderaan yang dikejar terbabas dan melanggar tembuk rumah dan  pemandunya, Aminulrasyid Amzah, mati terkena tembakan di kepalanya.  Seorang penumpang telah keluar dan berjaya melarikan diri.   
Saya  kemudianya membuat panggilan telefon kepada Dato’ Khalid, Ketua Polis  Negeri dan meminta penjelasan dari beliau. Dato’ Khalid menegaskan  bahawa siasatan sedang dijalankan dan anggota polis yang terbabit telah  dipindahkan ke kerja-kerja pejabat. Menurut beliau, siasatan dibuat oleh  polis Negeri, bukan oleh polis Shah Alam, bagi menjamin ketelusan.  Begitu juga tegas beliau, bahawa siasatan dibuat di bawah Kanun  Keseksaan 302, iaitu tuduhan membunuh sebagai bukti seriusnya pihak  polis ke atas kes ini.  
Dalam keadaan asyik mendengar penjelasan tambahan dari mereka yang berada di Surau, tiba-tiba beberapa orang  membawa seorang remaja ke hadapan saya sambil berkata kepada saya, 
“dia  lah penumpang yang bersama arwah yang telah melepaskan diri”. Orang  semakin ramai berkumpul dikeliling saya dan memandangkan keadaan semakin  bercelaru, saya menasihati remaja tersebut untuk ke tempat lain dahulu  dan ‘stay low profile’.  
Saya mengambil nombor telefon bimbitnya dan  berjanji akan memanggilnya kemudian untuk bertemu dalam suasana dan  keadaan yang lebih tenteram untuk mendapatkan penjelasan berhubung  peristiwa berkenaan daripada beliau. Saya berpesan supaya dia  berhati-hati supaya tidak ditahan polis kerana dikhuatiri penjelasan  beliau akan dipengaruhi pihak polis untuk sealiran dengan kenyataan yang  telah dikeluarkan mereka.  
Kenyataan yang dikeluarkan polis melalui TV  dan radio, saya diberitahu, berbunyi 
“seorang yang disyaki penyamun  ditembak polis awal pagi di Seksyen 11 Shah Alam….sebilah parang  dijumpai di dalam kereta disyaki digunakan sebagai senjata untuk  menyamun….suspek kedua berjaya melepaskan diri..”  Selepas Maghrib  saya berhubung dengan remaja berkenaan dan kami bertemu bersama  beberapa orang sahabat sebagai saksi. 
Remaja tersebut memberitahu  bagaimana arwah telah mengambil kereta kakaknya pada lewat malam sambil  semua sedang tidur dan menjemput beliau. Mereka telah ke sebuah kedai di  Seksyen 11 dan seterusnya ke Seksyen 7 setelah mendapat panggilan dari  seorang rakan lain yang mengalami kerosakan motorsikal di situ.  
Dalam  perjalanan ke tempat kerosakan tersebut, berhampiran restoran Ali’s  corner, mereka tergesel dengan sebuah kereta mewah yang sedang parkir di  situ. Kemalangan ini menyebabkan arwah ketakutan dan beliau terus  membawa kereta untuk melarikan diri. Pada masa yang sama mereka dapati  ada motorsikal yang mengejar mereka. Apabila sampai di Seksyen 12, di  jalan dari bulatan Istana Kayangan menuju SIRIM, motorsikal berkenaan  terlanggar kereta yang dipandu arwah di bahagian belakang dan terus  terbabas.   
Arwah terus membawa keretanya dengan laju dan pada  ketika itu mereka telah 
memintas sebuah kereta peronda polis. Kereta  peronda tersebut terus membunyikan sirennya dan mengejar mereka, melalui  SIRIM terus ke bulatan dan menuju ke Masjid Negeri, sampai ke Seksyen 9  dan kembali ke bulatan Istana Kayangan.  
Dari bulatan Istana Kayangan  mereka berpatah semula ke Seksyen 11 memasuki simpang berhampiran  Caltex, Esso dan terus memasuki jalan 11/2. 
Tiba-tiba kedengaran  tembakan beberapa das. Kereta terhoyang hayang disyaki tayar telah  
terkena tembakan. Arwah terus memandu dalam keadaan tayar ditembak  sehingga tiba-tiba beliau rebah ke atas ribanya. Kereta terus menyimpang  ke kiri dan terbatas melanggar tembok sebuah rumah.  
Apabila di  pegang kepala arwah, didapati berlumuran darah. 
Terasa kepala berlubang  dan darah membasahi tangan dan bajunya. Remaja ini terus keluar dari  kereta, terpaksa keluar dari pintu sebelah arwah, kerana pintu sebelah  dirinya telah terhimpit. Terpaksa mengalih mayat arwah supaya dapat  melepasi diri dengan 
tujuan menyerah diri. Tak sempat apa-apa, 
sebaik  sahaja keluar beliau diterajang seorang anggota polis dan beliau terus  melarikan diri.  
Sambil mendengar penjelasan beliau, tiba-tiba  abangnya muncul entah dari mana. Memarahi beliau kerana tidak pulang ke  rumah. Apa dah jadi ini, kata abangnya, bagaimana adik saya digelar  penjenayah. Kami menenangkan abangnya sambil memberitahu niat kami  adalah untuk menolong adiknya. Dia terus meminta adiknya pulang ke  rumah, ayah menunggu katanya. Kami ikut sekali. Setibanya di rumah  mereka, ayah dan ibunya kebinggungan. Kami menenangkan mereka dan  memberitahu mereka anak mereka bukan penyamun.  
Seterusnya saya  membawanya bersama abangnya untuk membuat laporan polis. Jam sudah  hampir pukul 10 malam. Saya ingin menentukan bahawa laporannya sama  seperti ceritanya kepada saya sebelum ini. Tiada paksaan untuk mengubah  ceritanya. Selepas laporan disiapkan saya bersamanya dan abangnya  bertemu pegawai yang bertugas.  
Saya bertanya apakah SOP untuk pihak  polis menggunakan senjata api menembak orang yang disyaki. Dia menjawab,  hanya sekiranya nyawanya atau nyawa orang lain terancam.  Remaja  saksi utama dibenarkan pulang ke rumah. Saya telah berhubung dengan YB  Gobind Deo terlebih awal dan meminta dia mengambil kes ini. Dia berjanji  akan berjumpa remaja berkenaan pada esok harinya, iaitu Selasa jam  10.30 pagi di mahkamah Shah Alam.  
Selepas itu saya ke rumah arwah  untuk bertemu keluarganya. Ibunya kesedihan. Abangnya kebinggungan.  Bagaimana ini semua boleh berlaku. Mendengar percakapan ibunya berhubung  arwah yang merupakan anak bongsunya, saya merasa sebak. Saya tak boleh  bayangkan kesedihannya. Semakin ramai datang berkumpul. Saya berundur  pada jam 12 tengah malam.  
Esok pagi jam 9.30 pagi saya mengadakan  sidang akhbar di pejabat saya. Dalam sidang akhbar tersebut saya  menyatakan 3 perkara seperti berikut :-  
1. Arwah bukan penyamun  dan penjenayah. Warga Seksyen 11 mengenali beliau dan tidak akan  menerima alasan sedemikian rupa dari mana pihak sekalipun. 2. Arwah  tidak cuba melanggar anggota polis seperti yang didakwa. Arwah telah  ditembak semasa memandu melarikan diri dan bukan semasa mengundur kereta  untuk melanggar anggota polis. Itu satu pembohongan sepertimana juga  kisah kononnya ada sebilah parang di dalam kereta. 3. Saksi yang  merupakan rakan sepanjang peristiwa malang tersebut perlu diberi  perlindungan dan tidak ada usaha dilakukan supaya ceritanya diubah untuk  bersesuaian dengan kisah yang dilaporkan pihak polis. Saya meminta  Polis bertindak secara profesional dalam kes ini dan jangan berusaha  untuk melindungi anggotanya.  Shah Alam menjadi medan berlakunya  pembunuhan Teoh Beng Hock sebelum ini. Malaysia juga menyaksikan sebelum  ini kes Kugan yang telah mati di dalam tahanan. 
Norizan Salleh yang  ditembak secara rambang sebanyak 5 kali tetapi masih hidup untuk  menceritakan pengalaman ngerinya.  Harap jangan dilupa juga kisah  Altantuya bersama bom C4. Ini semua kes-kes yang tergantung yang menjadi  tanda tanya masyarakat. Entah banyak mana lagi kes yang tergantung  sebegini yang tidak diketahui umum.   
Apa yang pasti, kita tidak  boleh membenarkan kes Aminulrasyid berkesudahan sebegitu rupa. Kita  doakan semoga roh Allahyarham ditempatkan bersama orang-orang yang soleh  yang beroleh rahmat.  
Wallahu 'Alam 
KHALID SAMAD