Dey Macha

Dey Macha
NAK TERSENGIH SELALU? SILA LIKE BIAQPILA PAGES

IKLAN BANNER RM30-TEKS RM10 SEBULAN biaqpila(at)gmail.com



Isnin, November 23, 2009

Dilema politik Kedah

Oleh Zulkiflee Bakar


MUNGKIN kalau mahu menyedapkan hati, tidak salah jika ada mana-mana pihak buat seketika menerima sahaja kenyataan UMNO Kedah yang menolak andaian wujudnya kumpulan dan puak tertentu dalam parti berkenaan sehingga menyebabkan parti itu di negeri tersebut berpecah belah.

Malah tidak salah juga jika kita menerima dengan hati terbuka kenyataan Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah, Datuk Ahmad Bashah Md. Hanipah bahawa, semua pemimpin dan ahli UMNO serta Barisan Nasional (BN) khususnya di peringkat bahagian termasuk Pergerakan Pemuda, Wanita dan Puteri sentiasa memberi sokongan kepada pucuk pimpinan termasuk Pengerusi badan itu, Datuk Seri Shafie Apdal.

Tetapi UMNO Kedah tidak boleh menghalang kalau orang bertanya apakah kenyataan itu sekadar retorik atau realiti dan lebih daripada itu, apakah sindrom penafian masih wujud di kalangan pemimpin parti tersebut biarpun kini mereka sudah kehilangan kuasa?

Mungkin pemimpin-pemimpin UMNO Kedah berhak menolak sebarang andaian atas alasan ia ‘‘cuma persepsi orang yang mungkin tidak berada dalam parti’, tetapi mereka tidak mampu menyembunyikan fakta.

Dalam soal ini, selain maklumat yang diterima dan tinjauan yang dibuat, penulis berkesempatan mengetahui situasi sebenar politik di Kedah termasuklah peluang untuk UMNO kembali berkuasa. Tidak dapat dinafikan bahawa UMNO sememangnya berpeluang untuk merampas semula negeri itu daripada Pas seperti mana kata seorang pemerhati politik, peluang BN ialah 60-40 bukan 50-50.

Tetapi semua itu bergantung kepada keikhlasan pemimpin-pemimpin UMNO Kedah untuk mengakui kelemahan dan memperbaikinya. Masalah yang paling ketara menurut pemerhati politik tersebut ialah di peringkat bahagian. Atas sebab itulah, pemerhati berkenaan menolak sebarang andaian untuk meletakkan sebarang kelemahan atau kesalahan kepada Shafie Apdal.

‘‘Kalau orang tahu apa sebenarnya berlaku di bahagian-bahagian UMNO di Kedah, mereka akan memahami siapapun yang menjadi Pengerusi Perhubungan UMNO negeri itu, ia tidak akan berkesan.

‘‘Ia kerana bahagian-bahagian UMNO di Kedah sangat lemah, justeru tidak wajar kalau kita hendak menyalahkan Shafie. Beliau hanya dihantar oleh pucuk pimpinan bagi membantu tetapi sama ada akan berjaya atau tidak ia terletak kepada bahagian-bahagian UMNO menentukannya,’’ kata pemerhati politik tersebut.

Dalam soal ini, semua pemimpin UMNO di Kedah harus bertindak jujur, mereka perlu mengakui daripada 15 bahagian di negeri itu hampir kesemua ada masalah. Sikap berpuak-puak, cantas-mencantas dan pergelutan antara kumpulan yang ingin merebut jawatan ketua bahagian telah memungkinkan bahagian-bahagian UMNO berada dalam situasi yang cukup lemah. Oleh itu menuding jari kepada Shafie adalah sesuatu tindakan yang tidak wajar dan boleh diibaratkan hanya mahu menutupi kelemahan di peringkat bahagian.

‘‘Kebanyakan ketua bahagian hanya menguasai satu pertiga atau satu perenam sahaja bahagian masing-masing, lainnya semua di luar kawalan mereka,’’ kata pemerhati itu lagi.

Jika keadaan ini berlanjutan maka adalah mustahil bagi mana-mana juga pengerusi perhubungan untuk melaksanakan usaha bagi mengukuhkan parti dan seterusnya berhadapan dengan parti lawan dalam pilihan raya.

Akibat kelemahan di peringkat bahagian itu juga yang menjadi faktor utama kenapa sehingga ke hari ini, UMNO Kedah dilihat tidak berupaya untuk memberi sebarang cabaran bagi merampas kembali negeri itu daripada Pas.

Selesa

Sama ada hendak diakui atau tidak, adalah jelas walaupun apa juga yang dikatakan oleh UMNO dan BN Kedah kepada pentadbiran kerajaan negeri pimpinan Pas, namun di kalangan rakyat mereka dilihat semakin selesa dengan situasi sekarang. Dalam bahasa mudah, bak kata orang Kedah, ‘‘Biaq (biar) Pas perintah, tak dak masalah pun.’’. Mungkin kenyataan seumpama ini tidak disenangi oleh sesetengah pemimpin-pemimpin Kedah tetapi inilah realitinya selepas hampir 20 bulan, negeri Jelapang Padi itu berada dalam penguasaan Pas.

Di bawah kepimpinan Datuk Seri Azizan Abdul Razak, Pas Kedah dikatakan semakin mendapat perhatian rakyat. Malah sikap Azizan yang sentiasa tenang dan tidak melakukan sebarang perubahan drastik yang boleh memaparkan kegelojohan apabila berkuasa seperti mana berlaku di Perak dan Selangor turut memberi kelebihan kepada kerajaan negeri pimpinan beliau.

Berdasarkan hakikat itulah, jika UMNO Kedah masih lagi dihinggapi dengan sindrom penafian dan membiarkan kelemahan di peringkat bahagian berterusan, percayalah apa yang berlaku di Kelantan akan berulang di negeri tersebut.

Dahulu UMNO Kelantan juga sering menafikan bahawa mereka berpuak-puak, malah setiap kali isu perpecahan dibangkitkan mereka menuduh media mempunyai agenda. Tetapi realiti di lapangan menunjukkan apa yang diperkatakan adalah satu kebenaran dan kesudahannya sejak tahun 1990 hinggalah sekarang Pas terus menguasai Kelantan.

Malah suatu ketika berikutan kekalutan yang berlaku dalam UMNO Kelantan, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang ketika itu Presiden UMNO turut menjadi Pengerusi Perhubungan UMNO negeri.

Tetapi keadaan tidak berubah, Kelantan tetap gagal dirampas kembali oleh UMNO kerana pemimpin-pemimpin negeri itu terus bercakaran sesama sendiri.

Persoalannya apakah UMNO Kedah juga hendak membiarkan situasi ini berlaku di negeri mereka? Justeru bagi mengelakkan semua itu mahu tidak mahu pemimpin- pemimpin UMNO Kedah perlu berjiwa besar.

Mereka mesti bersikap terbuka untuk menerima teguran dan janganlah terlalu mudah melihat sebarang kritikan sebagai usaha menjatuhkan mana-mana pemimpin. Paling penting mereka harus memberi sokongan padu kepada Shafie dalam usaha memperkukuhkan UMNO negeri itu.

Shafie memerlukan sokongan padu yang sebenar-benarnya dan bukannya lakonan dalam usaha memastikan Kedah kembali ke pangkuan BN.

Keputusan pucuk pimpinan parti menghantar Shafie ke Kedah bukanlah tanpa alasan sebaliknya seperti mana kata Ahli Parlimen Jerlun, Datuk Mukhriz Mahathir kehadiran Naib Presiden UMNO itu adalah tepat pada masanya.

‘‘Beliau terlibat secara langsung dalam menawan semula Sabah ketika menjadi pembangkang. Kita perlukan pengalaman beliau bagi memikirkan strategi dan pendekatan terbaik bagi menawan semula Kedah. Pada masa yang sama saya melihat bapa saya sentiasa sedia untuk membantu UMNO negeri dan pusat.’’ kata Mukhriz.

Selain berganding bahu dengan Shafie, pemimpin-pemimpin UMNO Kedah juga harus mengakui bahawa ada masalah di peringkat bahagian-bahagian, kalau pun fakta ini dinafikan tetapi rakyat di kawasan terlibat mengetahui kedudukan sebenar.

Mereka juga perlu bersedia untuk menerima perubahan kepimpinan termasuklah memberi peluang kepada pemimpin-pemimpin muda untuk menerajui negeri itu.

Sekali lagi penulis mendapati sentimen yang mahukan Mukhriz kembali menjadi salah seorang pemimpin utama di Kedah cukup kuat.

‘‘Mukhriz harus berkorban, beliau perlu berkhidmat di Kedah biarpun sepenggal, apabila situasi sudah pulih dan UMNO Kedah sudah mantap, Mukhriz boleh meneruskan perjuangan di peringkat pusat.

‘‘Situasi politik di Kedah memerlukan pemimpin muda seperti beliau yang dilihat mempunyai karisma dan mampu menarik perhatian rakyat negeri itu untuk kembali menyokong UMNO dan BN,’’ kata seorang penganalisis politik ketika dihubungi.

Penulis difahamkan pada masa ini memang terdapat ramai pemimpin muda yang mula menonjolkan diri di bahagian- bahagian tetapi malangnya kehadiran mereka tidak begitu senangi sehingga berlaku cantas-mencantas.

Semua ini tidak akan menguntungkan UMNO dan BN, sebaliknya ia akan mengakibatkan parti itu akan ketandusan barisan pelapis yang akhirnya akan mengakibatkan ia berkubur begitu sahaja.

‘‘Mahu tidak mahu seperti juga di Terengganu, pucuk pimpinan UMNO perlu mencari daripada sekarang siapa bakal Menteri Besar Kedah kalau parti itu kembali memerintah.

‘‘Strategi ini penting dalam meyakinkan rakyat untuk menyokong BN,’’ kata seorang pemimpin veteran parti itu.

Apa pun keadaannya, adalah diharapkan UMNO Kedah akan terus bersikap terbuka dalam memperbaiki pelbagai kelemahan yang mereka miliki.

Dalam soal ini, perkara paling utama ialah bersikap ikhlas dan tidak bersikap hipokrit apatah lagi terus mengamalkan sindrom penafian. Jika sikap negatif itu berterusan, percayalah tidak mustahil panji-panji Pas akan terus tertegak di negeri tersebut seperti mana terjadi di Kelantan ibarat ‘pi mai pi mai tang jugak’.

detikdaily


Saksikan Lelaki Kuat Pacak Langit
Beri sekali dapat banyak kali...
MAHUKAN PENDAPATAN RM2000-RM3000 SEMINGGU?
SEMUA KAMI LELONG!!!
Kelab BlackV6
Iklan di Biaqpila cuma RM30 sebulan (Iklan Banner+Teks) >> email ke biaqpila(at)gmail.com
KOMEN
0 KOMEN

0 komen (Sila komen sikit..):

Catat Ulasan

Sendiri mau ingat...

LISTEN TO AL-QURAN ONLINE

Listen to Quran

Blog Archive