Dey Macha

dsp160519

dsp231112
IKLAN BANNER RM30-TEKS RM10 SEBULAN biaqpila(at)gmail.com



Isnin, Mac 08, 2010

Budaya katak politik dan rakyat



Li Fook Gau

7 MAC — Semua manusia yang dicipta Tuhan mempunyai kelemahan dalam mengawal nafsu. Sehebat-hebat didikan agama dalam jiwa seseorang manusia, dia tetap akan terlanjur melakukan sesuatu yang salah akibat terikut naluri nafsu dari masa ke semasa. Ada yang tersilap kecil, namun tidak kurang juga yang tersilap besar sehingga dikategorikan sebagai melanggar undang-undang manusia sampailah si dia dihukum di mahkamah manusia.

Kebelakangan ini, budaya katak politik yang semakin menjadi-jadi telah mencemarkan lagi sistem demokrasi negara kita. Sudah tentu kita tidak lupa bahawa betapa hebatnya kuasa demokrasi yang dimiliki katak-katak politik sehingga ia boleh menjatuhkan kerajaan Perak tanpa mengikut saluran demokrasi yang betul.

Katak-katak politik ini jugalah yang menyebabkan buat pertama kalinya dalam sejarah negara kita, Menteri Besar tidak ditentukan oleh undi rakyat sendiri tetapi mahkamah persekutuan. Apakah sampai sekarang, saudara masih tidak akur dengan kehebatan katak-katak politik ini?

Berbalik semula kepada episod katak-katak politik yang berlaku dalam parti PKR kebelakangan ini; ramai antara kita mengutuk perbuatan katak ini sebagai sesuatu perbuatan khianat yang tidak boleh dimaafkan sampai bila-bila.

Bagi saya, kerja mengutuk ini hanyalah untuk melepaskan emosi yang meruap-ruap ketika katak ini melompat, tapi persoalan yang lebih penting untuk kita fokuskan ialah berapakah orang yang betul-betul faham apakah sebenarnya yang menyebabkan kita marah terhadap katak politik ini?

Marilah kita sama-sama merenungkan 2 soalan di bawah;

(a) Adakah kita marah sebab kita tidak dapat menerima budaya katak politik kerana ia mengkhianati amanah yang diberikan oleh para pengundi?

Atau…

(b) Adakah kita melenting kerana si katak memilih untuk melompat dari tempat yang dianggap suci ke tempat yang dianggap kotor pada pandangan kita?

Jika saudara memilih soalan (a) sebagai jawapan saudara maka renungkan soalan (c) di bawah…

(c) Jika Tengku Razaleigh Hamzah melompat ke mana-mana parti komponen Pakatan Rakyat atas dasar hilang kepercayaan pada Umno, adakah saudara akan berasa marah terhadap Tengku Razaleigh kerana saudara tidak dapat menerima budaya katak politik dan merasakan bahawa beliau telah mengkhianati amanah yang diberikan oleh penduduk kawasan Gua Musang?

Jika saudara memilih soalan (b) sebagai jawapan saudara maka renungkan soalan (d) di bawah…

(d) Boleh tak saya simpulkan bahawa saudara menyokong budaya katak politik asalkan pada pandangan saudara katak itu melompat ke pihak yang disokong saudara — seperti Tengku Razaleigh melompat ke PAS atau PKR?

Jawapan kepada 2 soalan di atas akan dapat membuktikan bahawa rakyat sendiri mempunyai unsur hipokrit dalam menentang budaya katak politik yang sedang melanda negara kita. Sifat hipokrit ini terjadi kerana segala urusan manusia masa kini sering dipertimbangkan dan dikawal dari perspektif soal untung-rugi seolah-olah seperti satu urusniaga perniagaan.

Kebanyakan yang dikomen, ditulis, dibantah dan disokong bukan kerana prinsip, tapi berdasarkan perspektif untung-rugi bagi seseorang. Segala yang membawa keuntungan dibolehkan walaupun ia melanggar prinsip hidup sendiri seperti kata pepatah “matlamat menghalalkan cara”.

Sikap hipokrit rakyat ini sudah terbukti membawa padah kepadanya sendiri, kerana sudah tentu kerajaan yang terhasil daripada undi-undinya akan mempunyai ciri-ciri hiprokrit yang sama — lihatlah sahaja kerajaan BN yang kita ada sekarang… Sifat hipokrit sebegini harus dihentikan, dan ia harus bermula daripada rakyat.

Rakyat harus konsisten dalam menuntut prinsip-prinsip politik yang baik daripada semua parti politik dan rakyat tidak boleh mempergadaikan sedikit pun prinsip-prinsip ini demi keuntungan jangka waktu pendek kepada pihak yang disokongnya. Jika tidak, percayalah bahawa kita tetap akan mendapat kerajaan yang hipokrit sikapnya tidak kira siapa yang memerintah — Rakyat borek, kerajaan rintik.— harakahdaily.net





KOMEN
0 KOMEN

0 komen (Sila komen sikit..):

Catat Ulasan

Sendiri mau ingat...

LISTEN TO AL-QURAN ONLINE

Listen to Quran

Blog Archive