Rasidi (duduk) menunjukkan lokasi satu kepala yang dipercayai milik seorang daripada empat mangsa yang dibunuh di Gemencheh. — Foto Bernama
SEREMBAN, 12 Ogos — Mahkamah Tinggi Seremban semalam dikejutkan dengan pendedahan seorang saksi yang memberitahu bahawa tertuduh Rasidi Ismail mendakwa dia bertindak membunuh empat ahli keluarganya di Gemencheh, Negeri Sembilan awal tahun ini demi melaksanakan satu misi suci “membunuh syaitan dan dajal.”
Perkara itu didedahkan oleh Pegawai Siasatan Jenayah Berat Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri Sembilan, Asisten Supritendan Noor Suran Abdul Wahid ketika disoal balas oleh peguam bela kepada Rasidi, Hanif Hassan.
Noor Suran berkata, Rasidi ada memberitahunya yang dia berada dalam keadaan bercelaru ketika kejadian.
Selain itu kata beliau, tertuduh memberitahunya dia menanam kepala salah seorang mangsa, bapanya, di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 21 Shah Alam, Selangor, yang dikatakan sebagai kepala “Sayidina Abu Bakar” bagi menghalang ia diambil oleh syaitan dan dajal.
Jelas Noor Suran, Rashidi juga berkata dia menjalankan satu misi suci untuk membunuh syaitan dan dajal yang kini banyak di muka bumi ini.
Dipetik Utusan Malaysia hari ini, saksi pendakwa kesembilan itu juga menyatakan, tertuduh ada memberitahunya bahawa nenek tertuduh, Sufiah Katas, 80, ialah jelmaan syaitan manakala datuknya, Atan Daud, 87, ialah jelmaan dajal.
“Tertuduh juga memberitahu neneknya adalah jelmaan syaitan manakala datuk jelmaan dajal dan adik perempuannya perlu diselamatkan dari syaitan dan dajal,” kata Noor Suran dipetik Berita Harian.
Di samping itu, tertuduh mendakwa dia membunuh adiknya, Siti Khadijah Ismail, 22, kerana perlu menyelamatkan mangsa daripada syaitan dan dajal.
“Tertuduh juga ada memberitahu sebelum semua mangsa dibunuh, dia telah meminta maaf daripada mereka,” kata Noor Suran lagi.
Rasidi, 32, dibicarakan atas tuduhan membunuh bapanya, Ismail, 76, datuk dan neneknya di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Batang Rokan, Gemencheh, di sini antara pukul 7 pagi dan 11 pagi, 5 Januari lalu.
Tertuduh yang merupakan penganggur juga dituduh membunuh Siti Khadijah di rumah bernombor 119, Kampung Batang Rokan pada masa dan tarikh yang sama.
Dakwaan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.
Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Daerah Tampin, Asisten Supritendan Khairil Anuar Saidin pula memberitahu, Rasidi berharap agar dia dibunuh ketika bertindak menyerang dua anggota polis bantuan di Stesen LRT Masjid Jamek, Kuala Lumpur pada 6 Januari lalu.
Menurut saksi kesepuluh itu, pemuda tersebut memberitahu tindakannya menyerang anggota polis bantuan itu bertujuan agar mereka menyerangnya semula dan boleh terbunuh ketika diserang balas.
Malah katanya Rasidi juga adalah memberitahu yang dia mahu mati kerana dia sudah dijatuhkan hukuman mati.
Selepas saksi itu selesai memberi keterangan, Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Ahmad Nasfy Yasin memerintahkan Rasidi membela diri atas tuduhan yang dihadapinya setelah mendapati Timbalan Pendakwa Raya, Wan Shaharuddin Wan Ladin berjaya membuktikan kes prima facie.
“Laporan bedah siasat dan keterangan saksi membuktikan bahawa semua mangsa mati akibat kecederaan yang dialami mereka.
“Mahkamah juga mendapati penemuan kepala, rekod percakapan tertuduh dan kelakuan tertuduh jelas menunjukkan niat tertuduh,” katanya.
TMI