Dey Macha

dsp160519

dsp231112
IKLAN BANNER RM30-TEKS RM10 SEBULAN biaqpila(at)gmail.com



Isnin, Ogos 23, 2010

MERDEKA 53 Tahun.. Perintah 53Tahun,,, nak sediakan siaran TV kat Rakyat pun tak mampu

Jln-Jln Masuk Kg: Bulan Puasa 2010
Hari ini Sabtu 21.8.10, hari ke 11 puasa ramadhan 1431H, sekali lagi bersama-sama dengan rakan-rakan dari NGO Wargakilang.com, dan juga atas kapasiti saya sebagai orang yang bertanggungjawab terhadap CSR (Corporate Social Responsibility) di tempat kerja, kami telah diberi kesempatan dan kelapangan untuk masuk ke kampung-kampung pedalaman di sempadan daerah Sik dan Kuala Nerang Kedah, untuk mengenal pasti keluarga-keluarga miskin dan susah bagi disenaraipendekkan untuk menerima sumbangan.


Bermula seawal pagi sehinggalah hampir jam 4:00 petang, kami telah berkesempatan melawat 28 keluarga hampir kesemuanya. Daripada sejumlah itu, 20 keluarga sudah dikenalpasti, dan insyaallah sesiapa yang berminat untuk turut serta menghulur sendiri sumbangan bolehlah bersama-sama kami pada 29 Aug dan 5 Sept 10 yg akan datang.

Dalam banyak-banyak keluarga yang kami kunjungi itu, saya berminat untuk berkongsi kisah beberapa keluarga ini sebagai iktibar untuk semua.

Ada sebuah rumah yg kami kunjungi, dari jauh jelas terbayang taraf kehidupan sang penghuni; rumah kayu beratapkan zink usang, atas pintu depan diletakkan atap daun serdang bagi mengelakkan tempias di kala hujan. Di situ tinggalnya abang Riduan, seorang penoreh getah bersama isteri dan 4 orang anak-anak kecilnya (3,5,9,10 tahun).


Budak-budak ini tak nampak langsung rasa rimas atau pun tak selesa dengan suasana rumah mcm tu, malahan ramah lagi ada.

Si kecil Norhusna darjah 3 tu petah dan ramah sungguh, tak habis-habis dok jemput suruh kami naik masuk. Bagus sungguh budi bahasa dia. Anak saya yg hampir sebaya Norhusna tu, kalau org mai rumah, bukan kata nak jemput masuk, dia lari masuk bilik lagi dok ada. Makna katanya, abang Riduan ayah Norhusna tu, walau pun hidup dalam serba kemiskinan tapi ianya tidak menjadi halangan untuk mendidik anak-anaknya menjadi insan yang berbudi bahasa.

Seterusnya adalah rumah seorang Ibu Tunggal, Puan Suraya Abd Hadi. Lihatlah gambar rumahnya di bawah ini, saya tak pasti apa sebabnya tukang rumah design rumah macam ini, bumbung rumah dia sama paras dengan dahi saya saja, terpaksa tunduk kalau nak masuk.

Gambar rumahnya ini mampu melambangkan tahap kesusahan hidup yang beliau harungi dalam membesarkan 4 orang anak-anaknya yang tinggal bersama, ting 4 ting 1, darjah 1 dan tadika. Ironiknya, walaupun hidup dalam serba kekurangan, tetapi ianya tidak menjadi halangan untuk beliau sekeluarga turut sama-sama menghias rumahnya dengan bendera Malaysia sempena hari Merdeka yang ke 53 yang nak mai ini.

Dari sudut yang lain, kalau ada orang-orang atasan yang terbaca tulisan saya ini, tolonglah khabarkan pada Pak-Pak Menteri bahawa rakyat marhain di peringkat bawahan ini masih tetap berjiwa patriotik walaupun kadang-kadang masalah kesusahan dan kemiskinan hidup mereka bukanlah menjadi keutamaan di peringkat atasan.

Dalam perjalanan kami seterusnya, boleh dikatakan hampir kesemua rumah yang kami kunjungi adalah keluarga penoreh getah, dan nama-nama yang diberikan kepada kami itu kebetulannya adalah kuli-kuli yang menoreh di pokok orang, kalau dapat hasil jualan kena bahagi dua, lalu dapatlah pendapatan mereka lebih kurang RM400 sebulan.

Itupun bergantung dengan cuaca hujan. Abang Kamarudin di Kg Tanjung Piring dalam gambar di bawah ini misalnya, sejak 11 hari kita puasa, baru 3 hari sahaja beliau dapat turun menoreh disebabkan musim hujan. Rumah-rumah lain yang kami kunjungi lebih kurang mcm tu juga jawapannya, semuanya mengeluh sebab RAYA dah nak mai tapi hasil menoreh masih tak menentu. Walaupun begitu, Abang Kamarudin tetap tabah mengharung takdir membesarkan 4 orang anak-anaknya (Ting 1, darjah 4, 4 tahun dan 1.5tahun).

Cumanya ada sedikit penemuan yang agak memeranjatkan.

Pada mulanya kami agak hairan kenapa rumah-rumah penoreh getah itu, walaupun keadaan sesetengah rumah mereka itu agak uzur dan hasil menoreh cuma sekitar 400-500 sebulan, tapi mampu pula melanggan ASTRO, sana sini kami lihat piring ASTRO merata-rata, sehinggalah kami dimaklumkan sendiri apabila tanpa segan kami bertanya pasai apa boleh langgan astro walaupun pendapatan tak seberapa? depa habag kata di kawasan sempadan Kuala Nerang-Sik itu tak dapat liputan siaran TV RTM/TV3 dan sebagainya. Ada yang dah pasang antena sampai 2x tinggi pokok nyiok tapi siaran masih tak clear clear juga. Jadi, nak tak nak terpaksalah penduduk-penduduk kg di Kg Nami Baru, SIK dan Kg Nami Lama, KUALA NERANG melanggan pakej ASTRO yang paling murah iaitu RM37 sebulan dengan upah pasang RM50.

Makna kata, pendapatan depa yang sekitar RM400 sebulan itu, tolak ASTRO RM37, tinggallah bersih lebih kurang RM363 sebulan, lebih sedikit sahaja daripada pendapatan arwah ayah saya (RM250), seorang penoreh getah di Baling waktu saya isi borang di MRSM sekitar 30 tahun yang silam. Maknanya, walaupun harga getah sudah naik, tidak banyak rupanya perubahan yang dinikmati oleh golongan penoreh khususnya di kalangan kuli-kuli getah di peringkat bawah ini. Bukannya hanya tidak dipeduli, tapi terus-terusan terpinggir di kawasan pedalaman yang tiada liputan TV, malah pendapatan bulanan pun ada kalanya lebih rendah daripada gaji maid RM500 sebulan di rumah saya ini.

Minta maaflah jika saya menulis ini sedikit emosi, apakan daya asal saya ini daripada keluarga penoreh, maka apabila saya melihat walaupun sudah hampir 53 tahun negara merdeka, tapi masih ada pihak-pihak yg tidak ambil peduli rakyat dapat ke tidak siaran TV free ini, maka terasalah sangat nasib suku sakat kami penoreh getah ini bukanlah menjadi satu keutamaan. Sedih!

Seterusnya, satu rumah yang kami kunjungi, dalam mukim Jeneri kalau tak silap, saya tak mampu nak garapkan kata-kata, biarlah gambar ini sendiri yang berbicara.

Bagi saya, berkunjung ke rumah ini bagaikan perjalanan merentas masa berkunjung pulang ke waktu kanak-kanak saya di suatu zaman yang silam.


Jauh di sudut hati, walaupun rasa tercalar di hati sebab masih ada anak bangsa yang masih mewarisi suasana ini, tapi saya amat bersyukur sebab ditakdirkan Illahi tercampak keluar daripada orbit kemiskinan ini; moga Allah SWT akan terus memberi ketabahan dan kelapangan masa untuk saya dan rakan-rakan terus membantu insan-insan yang seperti ini.

Rumah terakhir lebih memilukan buat saya. Saya hampir menitiskan air mata bila melihat keluarga penoreh getah 6 beranak ini hidup di dalam rumah yang tidak ada bekalan letrik. Aik, bukankah dua tiga hari lagi 53 tahun negara merdeka?


Keluarga ini mengharungi malam-malam mereka cuma menggunakan generator untuk bekalan yang sementara. Tuan rumah ini, Puan Mazlina habag pakai generator tak boleh pakai lama, guna sat-sat saja, tak tahan lama; jadi anak-anak dia nak baca buku atau buat kerja sekolah kadang-kadang selalu kena pakai pelita minyak tanah atau pun pelita karbad. Kesian budak-budak tu.
Entahlah, mungkin ini semua adalah cubaan hidup yang perlu dihadapi oleh keluarga ini; rumah sempit tiada bilik cuma kain-kain disidai pada tali dijadikan dinding, tiada letrik cuma gen-set, ada orang sedekah TV tapi sekadar hiasan payah nak dapat siaran. Ketua rumah cuma kerja menoreh dan ambik upah menebas, dapatlah sikit-sikit untuk habuan makan anak-anak. Kalau macam ni punya dok ada, sukar rasanya anak-anak En Mohd Din ini nak melompat keluar dari orbit kemiskinan yang sedang melanda keluarga mereka ini.

Apa yang kita boleh bantu? Entahlah, kita bukanlah ada apa-apa magic yang dapat mengubah takdir mereka, tapi tidak salah rasanya kalau siapa-siapa yang ada masa dan kelapangan itu, turun-turunlah ke bawah dan jengok-jengoklah insan-insan lara yang memerlukan bantuan seperti mereka ini. Lagi pun orang alim kata, kerja buat amal dan kebajikan yang kita lakukan di bulan puasa yang mulia ini akan diberi pahala yang berlipat kali ganda balasannya. Mungkin sebab itu kot Tuhan wujudkan keluarga-keluarga seperti itu sebab di samping sebagai ujian buat mereka, ianya juga adalah berupa ujian buat kita semua. Tuhan juga nak Uji sama ada kita nak bantu ke tidak orang-orang seperti mereka ini. Kalau nak kutip pahala, turunlah pi bantu insan-insan yang disuratkan takdir seperti ini.

Selamat Menyambut Malam 7-Likur dan Salam Aidilfitri.




(Dengan ihsan: pelita ayam dan pelita karbad asli dari rumah En Mohd Din)

moniermatdin@yahoo.com
21.8.10
http://www.moniermatdin.blogspot.com/



kedahlanie

1 ulasan:

  1. Dengan semangat perjuangan berbagai golongan patriotik-demokratik hari ini, kegelapan yang memajang akan segera berakhir.... Insya Allah

    BalasPadam

Sendiri mau ingat...

LISTEN TO AL-QURAN ONLINE

Listen to Quran

Blog Archive