Oleh AHMAD LUTFI OTHMAN
Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria memang terkenal dengan isu-isu kontroversi. Malangnya ada isu-isu yang dibawanya itu tidak lebih daripada "serkap jarang". Saya tidaklah sampai menuduh beliau sebagai pembawa berita palsu atau yang belum disahkan kerana ia tentulah tidak baik kepada imejnya sebagai seorang ulama terkemuka. Cuma banyak pihak terkilan dengan sikapnya, yang kadang-kadang dilihat boleh (atau bersedia) diperalat oleh golongan berkepentingan.
Memang ulama tidak wajar mengasingkan diri daripada politik, malah wajar mengungguli politik Islam, tetapi pendekatan Harussani begitu canggung sekali.
Peringatannya dalam isu murtad cukup bermanfaat sehingga masyarakat dan kerajaan tersentak; sayang sekali, ada ketika, fakta yang dibawanya tidak berjejak dan ini boleh mengundang kontroversi yang berbahaya.
KUTIP FAKTA SALAH
Saya pernah menemuramahnya semasa saya mengetuai akhbar Siasah hampir lima tahun lalu. Terasa selesa berdepan dengannya. Bagus penjelasannya, tetapi saya perlu berhati-hati dalam editing, bimbang bukan sahaja beliau terlepas cakap tetapi mengutip fakta yang susah hendak disahkan.
Harussani semasa hangat isu perpaduan PAS-Umno menegaskan: "Saya mufti, takkan saya berbohong."
Bagaimanapun pendedahannya bahawa ada pemimpin Umno dan PAS berjumpa dengannya berbincang dan meminta pandangan beliau berhubung dengan cara untuk menyatupadukan kedua-dua parti itu disanggah keras pemimpin tertinggi PAS. Diakui wujud pertemuan seorang Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat dengannya, tetapi ia sama sekali tiada kena mengena dengan isu kontroversi itu.
Saya sendiri, yang menghormatinya atas kelantangan dan sikap terus-terangnya, tidak sanggup menuduh beliau berdusta. Tetapi apabila saya membaca "pendedahannya", seperti dilaporkan Utusan Malaysia (ya, akhbar mana lagi), bahawa sudah ada "perlembagaan baru" yang didakwanya disediakan parti politik tertentu, saya sekadar menggelengkan kepala.
Menurut beliau, "perlembagaan baru" itu menyisihkan hak-hak orang Melayu dan juga Islam yang dijamin Perlembagaan sekarang. (Maka berpestalah Utusan Malaysia kerana ia bertepatan dengan momokan akhbar berkenaan tentang ketuanan Melayu yang makin terpinggir selepas pilihan raya umum 2008, yang jelas sasarannya mahu ditujukan kepada Pakatan Rakyat).
Saya tersenyum apabila membaca laporan seterusnya ucapan Harussani dalam Wacana Perpaduan Ummah Dalam Kesedaran Penghakisan Hak Orang Melayu, di Ipoh itu: "Kebetulan saya ada memberi satu ceramah di Alor Setar. Ada seseorang datang dan memberikan saya tiga buah buku perlembagaan yang dikehendaki pihak tertentu."
Saya menelefon seorang kawan minta pandangannya tentang kenyataan Harussani itu. Jawabnya, "hang percaya Harussani?" Saya terdiam. "Dia suka dengar cerita orang dan mudah percaya, kemudiannya menjadi bahan utama dalam ceramahnya pula," tambah kawan saya itu lagi.
Tiba-tiba saya menjadi kasihan kepada Mufti Perak ini. Sudah banyak kali beliau menyampaikan kepada umum khabar sensasi yang diterimanya, yang saya pasti belum sempat disahkan kebenarannya.
JANGAN NAIF
Siapalah saya untuk menasihatinya agar menyelidiki dengan mendalam berita yang didengarnya sebelum menyebarkan kepada umum. Maaf kalau saya memperingatkan beliau agar jangan naif sangat dengan percaturan politik.
Apabila ditanya siapa dan parti politik mana yang terlibat dalam mewujudkan perlembagaan baru itu, seperti dilaporkan berita muka depan Utusan Malaysia, 17 Ogos lalu, Harussani enggan mendedahkan kerana "kesannya terlalu besar sehingga boleh mencetuskan peperangan besar di negara ini".
Maka semakin tersenyum simpullah saya seorang diri pagi Selasa itu. Saya pasti, seperti juga dalam dakwaannya bahawa ada pemimpin tertinggi PAS berjumpa dengannya mengenai rundingan Umno-PAS, Harussani tidak akan menjelaskan siapa dalang perlembagaan baru itu.
II.
Ramadan kini hampir melepasi fasa 10 hari pertama. Ya, sungguh cepat masa berlalu. Semoga sepuluh malam dan siang hari berpuasa itu dimanfaatkan setulusnya bagi mendekatkan diri dengan Allah SWT, seterusnya meningkatkan darjat takwa kita. Keampunan-Nya amat didambakan, dan doa dipanjatkan agar taubat diterima dan kita terselamat daripada seksaan api neraka.
Ramadan juga dikenali sebagai bulan al-Quran. Maksud al-Baqarah, ayat 185: "Bulan Ramadan, bulan yang di dalamnya diturunkan permulaan al-Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeda antara yang hak dan yang batil ...". Beruntunglah mereka yang dapat mendakap erat kalam Allah itu, membacanya dengan penuh keinsafan, serta menggali hikmah di dalamnya.
DAMPINGILAH AL-QURAN SEERATNYA
Nabi s.a.w. bersabda, yang bermaksud: "Bacalah al-Quran! Sesungguhnya al-Quran pada hari Akhirat nanti akan datang mebawa syafaat kepada orang-orang yang membacanya."
Membaca satu huruf sahaja dari al-Quran sudah dijanjikan Allah dengan satu pahala dan ia digandakan lagi kepada sepuluh pahala. Rasulullah s.a.w menerangkan bukanlah "Alif Lam Mim" itu dikira satu huruf, bahkan "Alif" satu huruf, "Lam" satu huruf dan "Mim" satu huruf.
Dr 'Aid Abdullah Al-Qarni dalam bukunya, "Hikmah Berpuasa di bulan Ramadan" menjelaskan: "Di awal Ramadan, Nabi mempersiapkan dirinya untuk hidup bersama al-Quran, mengurangi segala aktiviti dan kesibukan selain al-Quran, agar dapat mengkaji, membaca dan menjadikannya sebahagian dari kehidupan. Al-Quran merupakan mukjizat terbesar ... ketika setiap mukjizat sirna bersama kematian nabi yang membawanya, mukjizat al-Quran terus hidup sampai hari Kiamat."
Selain berazam khatam al-Quran sepanjang Ramadan, wajar sekali jika kita memerhatikan pengertian di dalamnya. Justeru, seeloknya kita memiliki sebuah terjemahan al-Quran yang baik. Peruntukkanlah waktu untuk menelaah maksud kitab suci terutama bersama keluarga dan rakan-rakan di pejabat. Ada imam menjadikan program tazkirah untuk mengupas dua tiga ayat al-Quran yang dibacanya dalam solat tarawih.
Seorang teman tidak lupa membaca satu juzuk setiap kali selepas solat fardu dan berazam untuk lima kali khatam menjelang Aidilfitri. Saya masih ingat seorang saudara di kampung, tetap menghadap al-Quran, ketika orang lain sibuk membuat persiapan raya pada petang hari terakhir puasa. "Rugi sangat jika masa sesuntuk ini tidak dimanfaatkan untuk membaca al-Quran," katanya. Manakala seorang lagi rakan, dari Pulai, saban hari mengingatkan melalui SMS: "Akhi, surah ke berapa hari ini, ana baru surah ...."
Saya juga tertarik dengan kecenderungan semakin rakan-rakan yang mengambil cuti sepuluh terakhir Ramadan dan rela mengorbankan cuti panjang selepas raya. Mereka mahu menumpukan kepada ibadah khusus seperti beriktikaf di masjid, bertadarus al-Quran, solat sunat, menyantuni golongan fakir, merenung dan memuhasabah diri, selain memohon keampunan, tanpa sebarang gangguan rutin pekerjaan seharian. Bagi saya mereka bijak memilih cuti yang tepat.
III.
Pengerusi baru Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) Tan Sri Hasmy Agam membuat cabaran kepada semua rakyat Malaysia, jika tidak mahu Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), maka mereka hendaklah bersatu menentangnya.
Beliau berkata hak asasi akan hanya diletakkan di tempatnya yang sewajar di negara ini, apabila semua pihak, bermula daripada kanak-kanak sekolah sehingga pegawai penguatkuasa memahami hak masing-masing.
"Terpulang kepada rakyat Malaysia sama ada mereka mahu atau tidak mengekalkan ISA," tambah Hasmy, bekas diplomat itu.
TUKAR KERAJAAN, TIADA JALAN LAIN
Suhakam, ujarnya, telah dan akan terus mendesak agar ISA dibubarkan. "Pendirian Suhakam jelas. Kami mahu ia dibubarkan. ... Dunia sudah berubah. Darurat sudah berakhir. Tidak ada lagi komunis. Mengapa ISA perlu dikekalkan?" tegas Pengerusi Suhakam ketiga itu, selepas Tun Musa Hitam, bekas Timbalan Perdana Menteri dan Tan Sri Abu Talib Othman, bekas Peguam Negara.
Tugas Hasmy, yang dilantik 7 Jun lalu, pastinya penting dan berat sekali, apatah lagi jumlah pesuruhjaya Suhakam yang baru hanya tujuh orang berbanding 16 sebelum ini.
Mungkin hambatan kewangan atau sikap tidak peduli pemerintah menyebabkan keanggotaan pasukan Hasmy dikurangkan. Antara tugasan awal mereka adalah memantau candlelight vigil memperingati 50 tahun ISA, yang diadakan di lokasi tertentu di seluruh negara. Pihak polis, seperti lazimnya, langsung tidak menghiraukan kehadiran pesuruhjaya Suhakam apabila bertindak keras menyurai perhimpunan aman itu dan menangkap beberapa aktivis.
Pendirian Suhakam terhadap ISA, sama ada menerusi kenyataan akhbar dan laporan tahunannya (yang tidak dibahaskan di Parlimen) adalah jelas. Soalnya, apakah cukup sekadar mengungkapkan siri perisytiharan sahaja tanpa berupaya mempengaruhi polisi atau dasar kerajaan terhadap akta drakonian itu?
Suhakam juga tidak bersetuju dengan sikap KDN menangani kes pembaharuan permit penerbitan Harakah dan Suara Keadilan.
Berkaitan perhimpunan aman, Suhakam telah membuat beberapa cadangan yang baik, antara lain "meminda Seksyen 27 Akta Polis 1997 untuk menjadikan perhimpunan dan perarakan amanyang dibuat tanpa lesen sebagai bukan perbuatan jenayah".
Suhakam turut mengesyorkan agar "tiada permohonan lesen diperlukan bagi mengadakan perhimpunan atau perarakan aman. Walaubagaimanapun, sesiapa yang hendak menganjurkan perhimpunan atau perarakan aman perlu memberitahu secara bertulis Ketua Ibupejabat Polis Daerah (OCPD)tentang perhimpunan atau perarakan tersebut".
Dinilai kenyataannya mengenai ISA, seperti dikutip pada awal artikel ini, seolah-olah Hasmy sudah mengangkat tangan menyerah kalah. Beliau seperti mahu menghantar mesej bahawa ISA hanya akan dimansuhkan oleh sebuah kerajaan baru, menggantikan BN.
Keputusan berada di tangan rakyat. Terpulang kepada rakyat untuk menentukan sama ada mahu melihat ISA terus mengganas atau dikuburkan terus.
KAMI DAN SUHAKAM
Sejak awal penubuhannya pada 1999, saya agak kerap bertandang ke pejabat Suhakam, yang bermula dengan sebuah kontena kecil di perkarangan Wisma Putra.
Aduan pertama saya mengenai pengharaman majalah Detik dan kemudiannya Wasilah pada tahun 2000. Naib Pengerusi Suhakam ketika itu, Allahyarham Tan Sri Harun Hashim sering menjadi rujukan kami. Pernah dalam satu majlis bersamanya, sempena Hari Kebebasan Akhbar Sedunia, saya secara berseloroh memberikan markah E kepada prestasi Suhakam dalam isu-isu kebebasan media.
Harun agak kerap bertanya saya, mungkin melihatkan tidak ramai pengamal media yang mengiringi saya ke Suhakam: "Berapa orang wartawan independen yang bersama saudara?"
"Kebanyakan mereka adalah kakitangan syarikat penerbitan saya dan juga rakan-rakan karib, adalah dua tiga puluh orang. Tapi Tan Sri kena ingat, bila Detik dan Wasilah diharamkan kerajaan, mungkin jika saya berjumpa Tan Sri tahun depan, yang tinggal tidak sampai lima orang, dan mungkin setahun kemudian, hanya tinggal saya sahaja," jawab saya.
SUHAKAM HILANG KUKU
Benar, tahun berikutnya, bukan jumlah mereka yang bersama KAMI berkurangan, malah Tan Sri pun sudah dipanggil menghadap Ilahi, al-Fatihah.
Pada September 2000 saya bersama 13 lagi aktivis media yang membentuk Kumpulan Aktivis Media Independen (KAMI) menyerahkan nota tujuh perkara mengenai kebebasan akhbar. Suhakam turut mengadakan bengkel khas dan saya diundang sebagai salah seorang penalis forum. Selepas menyedari suaranya tidak didengari elit penguasa, dan saya pula jatuh sakit, saya tidak berminat lagi untuk membuat aduan.
Meneliti Akta 597, fungsi Suhakam adalah untuk memupuk kesedaran dan menyediakan pendidikan yang berhubungan dengan hak asasi manusia, selain menyiasat aduan berkenaan dengan pelanggaran hak asasi manusia, dengan syarat tidak melibatkan apa-apa prosiding mahkamah yang belum selesai ataupun kes yang telah diputuskan secara muktamad oleh mahkamah. Keanggotaannya pula tidak melebihi 20 orang.
Hasmy tentu dapat membayangkan kesukaran yang bakal ditempuhnya apatah lagi menyedari segalanya terletak di tangan Perdana Menteri, merangkap Pengerusi BN dan Presiden Umno, yang lebih memikirkan survival politiknya berbanding isu hak asasi yang sebenarnya tidak pernah menjadi agenda penting pemerintah.
NOTA: Sumbangan untuk golongan yang memerlukan di bulan Ramadan ini boleh disalurkan kepada akaun Maybank 564025400533 (atas nama Parti Islam Semalaysia), yang diselenggarakan oleh Dewan Muslimat PAS Pusat dan Bilik Berita Harakah.
DD