Dey Macha

dsp160519

dsp231112
IKLAN BANNER RM30-TEKS RM10 SEBULAN biaqpila(at)gmail.com



Jumaat, April 09, 2010

Najib dan 1 Malaysia

8 APRIL — 3 April yang lalu genaplah setahun Datuk Seri Najib Razak menjadi perdana menteri Malaysia yang keenam. Najib naik ke tampuk kekuasaan pada ketika Barisan Nasional (BN) baru sahaja hilang kuasa dua pertiga di parlimen dalam PRU 12 yang lalu.

Pada ketika itu juga mantan perdana menteri, Tun Abdullah Badawi dipaksa untuk melepaskan jawatannya oleh kerana dipersalahkan akibat daripada keputusan buruk dalam PRU tersebut.

Abdullah pada ketika itu juga ditekan oleh rancangan “16 September” dari Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyatakan bahawa beliau telah mempunyai cukup bilangan ahli parlimen BN yang akan melompat menyertai Pakatan Rakyat (Pakatan) untuk merampas Putrajaya.

Walaupun rancangan Anwar tersebut tidak menjadi kenyataan, sedikit sebanyak ianya telah membantu mempercepatkan proses penyerahan jawatan perdana menteri dari Abdullah Badawi kepada Najib Razak.

Najib Razak naik menjadi perdana menteri dengan memperkenalkan konsep 1 Malaysia dan berslogankan “Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan”. Slogan tersebut memang sedap didengar.

Dalam bahasa mudahnya, kerajaan pimpinan Najib Razak akan mendahulukan rakyat dalam pembuatan keputusan kerajaan.

Selain daripada itu, Najib juga akan memastikan kerajaan pimpinannya akan bekerja keras untuk memastikan pencapaian yang terbaik dalam segala aspek.

Belumpun semua rakyat Malaysia memahami gagasan yang diperkenalkan oleh Najib Razak, pelbagai perkara mengejutkan berlaku.

Negara digemparkan apabila Teoh Beng Hock, setiausaha politik kepada seorang exco kerajaan negeri Selangor ditemui mati dibawah bangunan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sehari selepas ditahan untuk siasatan.

Kejadian ini memang mengejutkan oleh kerana jarang kedengaran seseorang mati ketika berada dalam siasatan sebuah agensi pencegahan rasuah. Apakah ini yang dimaksudkan dengan pencapaian diutamakan?

Sehingga kini, kes ini masih belum dapat diselesaikan dan tidak nampak sebarang kesungguhan untuk mempercepatkan siasatan terhadap punca kematian anak muda tersebut. Ini telah menyebabkan kes ini terus menjadi misteri dan kredibiliti SPRM terus dipertikaikan.

Konsep 1 Malaysia yang diperkenalkan oleh Najib tidak begitu dijiwai oleh rakan-rakan partinya. Timbalannya sendiri, Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak dilihat serasi dengan konsep 1 Malaysia yang diperkenalkannya.

Baru-baru ini, Muhyiddin “dijerat” oleh ahli parlimen Ipoh Timur, Lim Kit Siang sehinggakan beliau mengeluarkan kenyataan bahawa beliau adalah Melayu dahulu dan Malaysia kemudian.

Tidak menjadi masalah jika Muhyiddin mahu menjadi Melayu dahulu jika beliau hanyalah seorang pemimpin Umno, akan tetapi beliau adalah seorang timbalan perdana menteri Malaysia yang seharusnya mempunyai sifat yang lebih nasional dan bukannya masih ditahap pemimpin sesuatu kaum.

Kenyataan Muhyiddin tersebut boleh dilihat sebagai satu signal bahawa beliau tidak sebulu dengan konsep 1 Malaysia. Ini juga secara tidak langsung telah memberikan persepsi yang tidak baik kepada gagasan perdana menteri tersebut. Jika Najib tidak dapat meyakinkan timbalannya dengan konsep 1 Malaysia, bagaimana beliau hendak meyakinkan seluruh rakyat Malaysia?

Selain Muhyiddin, ramai juga ahli-ahli Umno yang tidak bersetuju dengan konsep 1 Malaysia. Ini mendorong mereka untuk menyertai Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa) yang digerakkan oleh ahli parlimen Pasir Mas, Ibrahim Ali.

Perkasa berada dibawah naungan mantan perdana menteri keempat Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohammad dan terdapat beberapa menteri dalam kabinet Najib Razak yang menyokong pertubuhan tersebut secara terbuka.

Konsep 1 Malaysia tercalar dengan teruk apabila berlakunya pembakaran rumah ibadat di Malaysia pada awal tahun ini. Gereja, masjid, surau dan kuil Sikh menjadi mangsa keganasan segelintir pihak yang tidak bertamadun. Kerajaan pimpinan Najib dilihat tidak serius untuk mencegah perkara ini berlaku.

Lebih malang lagi, kerajaan dilihat bertindak “menyimbah petrol” bagi menyemarakkan lagi kemarahan apabila buat pertama kalinya, menteri dalam negeri menjadi “demokratik” apabila menyatakan bahawa kerajaan tidak boleh berbuat apa-apa jika rakyat mahu membuat memprotes keputusan mahkamah yang membenarkan penganut Kristian untuk menggunakan kalimah Allah.

Kenyataan Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein tersebut bercanggah dengan tindakan ganas kerajaan terhadap protes anti ISA dan PPSMI yang digerakkan oleh NGO dan parti pembangkang.

Dalam erti kata lain, dalam isu penggunaan kalimah Allah, kerajaan pimpinan Najib dilihat menyemarakkan lagi kemarahan orang Islam dan bukannya sebuah kerajaan yang demokratik dan membenarkan rakyat untuk bebas bersuara. Kebebasan hanya dibenarkan apabila ianya selari dengan kemahuan kerajaan atau kepada kelompok-kelompok yang berpihak kepada kerajaan.

Kemana hala tuju negara? Najib dengan konsep 1 Malaysianya, timbalannya berbicara dalam nada yang lain dan pertubuhan seperti Perkasa disokong oleh sebahagian besar ahli-ahli Umno dan menteri didalam kabinet Najib.

Berpolitik tanpa menjadikan kepentingan negara sebagai asas akan menyebabkan Malaysia terus ketinggalan dan mundur. Seharusnya kepentingan negara diutamakan berbanding dengan populariti politik dan keputusan pilihanraya.

Tatkala dunia membincangkan mengenai globalisasi, Malaysia terus ketinggalan dan masih lagi membincangkan tentang bagaimana untuk hidup dengan harmoni diantara rakyat yang mempunyai pelbagai agama dan kaum.

Yang boleh kita perhatikan dalam beberapa tahun yang akan datang ialah apakah konsep 1 Malaysia akan menjadi kenyataan atau menjadi bahan sejarah sepertimana nasib konsep Islam Hadhari yang diperkenalkan oleh Abdullah Badawi satu ketika dahulu.

themalaysianinsider






KOMEN
0 KOMEN

0 komen (Sila komen sikit..):

Catat Ulasan

Sendiri mau ingat...

LISTEN TO AL-QURAN ONLINE

Listen to Quran

Blog Archive