Dey Macha

Dey Macha
NAK TERSENGIH SELALU? SILA LIKE BIAQPILA PAGES

IKLAN BANNER RM30-TEKS RM10 SEBULAN biaqpila(at)gmail.com



Khamis, September 16, 2010

Mengapa saya ajak Perkasa berdebat?

Oleh Nurul Izzah

Semenjak tulisan saya menjemput Perkasa untuk berdebat tentang kedudukan istimewa orang Melayu pada 31 Ogos lalu diterbitkan, bermacam-macam tohmahan telah dikeluarkan terhadap saya.Saya dipanggil pengkhianat, dituduh cuba mengelirukan rakyat, tidak matang, buta sejarah dan juga kini dilibatkan dalam siasatan polis kerana dituduh menghasut.

Hairan, kerana orang yang mencadangkan supaya pemilikan tanah Kampung Baru dibuka sebanyak 40 peratus kepada bukan Melayu tidak pula mengalami nasib yang sama seperti saya.



Saya sudah jelaskan bahawa bukanlah niat saya untuk meminda peruntukan Perlembagaan Persekutuan tentang kedudukan orang Melayu, tetapi sekadar untuk mencari penjelasan tentang apa yang dilaung-laungkan oleh Perkasa tentang perjuangan mereka untuk melindungi orang Melayu.

Yang saya hujahkan dalam tulisan saya sebelum ini adalah bukan kedudukan istemewa orang Melayu dipersoalkan tetapi PELAKSANAAN dasar-dasar yang hanya menguntungkan segelintir orang Melayu dipersoalkan?

Sayangnya, jemputan saya itu ditolak mentah-mentah oleh pimpinan Perkasa dengan alasan soal kedudukan orang Melayu tidak boleh didebatkan, sedangkan yang saya mahu bincangkan hanyalah pelaksanaan dasar-dasar yang dikatakan dibuat atas peruntukan perlembagaan.

Kerana jemputan saya sudah ditolak, biarlah saya jelaskan sahaja di sini, apa sebenarnya menimbulkan kegusaran saya tentang perjuangan Perkasa dan soal kedudukan istimewa orang Melayu.

Pertama soal kuota dalam perkhidmatan awam. Mengikut statistik tahun 2009, 78.2 peratus daripada kakitangan awam adalah Melayu, dan Bumiputera lain membentuk 7.7 peratus. Selebihnya adalah bukan Melayu dan bukan Bumiputera.

Namun, kerajaan juga sedang berusaha untuk merekrut lebih ramai bukan Melayu dalam perkhidmatan awam, kerana keperluan menyampaikan perkhidmatan kepada warga pelbagai kaum.

Bagaimanakah dasar kuota ini selaras dengan keperluan untuk menunjukkan kepelbagaian dalam sektor awam?

Kedua, soalan yang sama juga boleh ditanya dalam hal kuota biasiswa kepada orang Melayu dan Bumiputera Sabah dan Sarawak. Saya mahu melihat lebih banyak biasiswa diberikan sebagai usaha memastikan kesaksamaan yang boleh tercapai dengan pendidikan yang menyeluruh.

Oleh itu, bukankah lebih baik sekiranya semua pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) ditukarkan kepada biasiswa penuh sebagai memenuhi semangat Fasal 153 Perlembagaan persekutuan?

Saya juga percaya Perkasa sudah tentu akan bersetuju dengan saya kalau saya cadangkan sebahagian pendapatan Petronas, 30 peratus keuntungan tahunan misalnya, disalurkan kepada satu dana pendidikan untuk membiayai biasiswa anak-anak kita.

Perkara ini tidak mustahil kalau akaun Petronas didedahkan kepada umum melalui parlimen. Usaha melaksanakan tadbir urus yang cekap ini semestinya selaras dengan perjuangan mempertahankan hak-hak orang Melayu.

Ini sebenarnya lebih bermanfaat daripada melaung-laungkan meminta orang Melayu mendapat lebih banyak biasiswa daripada kaum lain. Dalam bahasa mudah, apa gunanya orang Melayu mendapat tujuh biasiswa, dan kumpulan lain mendapat tiga tempat sahaja. Yang saya perjuangkan adalah banyakkan biasiswa menjadi 100 tempat, contohnya, sudah pasti ramai orang Melayu mendapat manfaat.

Kuota kemasukan ke universiti juga sebenarnya sudah diubah pada zaman pentadbiran Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pada tahun 2003, supaya lebih bersemangat meritokrasi. Bukankah ini mencabuli hak keistimewaan orang Melayu, kalau mengikut apa yang telah dilaung-laungkan Perkasa?

Saya juga tertarik dengan usaha Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak untuk meliberalisasikan 27 sub-sektor dalam sektor perkhidmatan.

Perkara 153 (1) Perlembagaan Persekutuan jelas menyatakan “Menjadi tanggungjawab Yang di-Pertuan Agong untuk melindungi kedudukan istimewa orang Melayu dan anak negeri mana-mana antara Negeri Sabah dan Sarawak dan kepentingan sah kaum-kaum lain mengikut peruntukan Perkara ini.”

Kepentingan ini termasuklah dalam keutamaan lesen-lesen perniagaan. Jadi adakah ini bermakna liberalisasi ini bertentangan dengan perlembagaan?

Tidakkah ini memberi kesan kepada “hak Melayu”?

Oleh kerana kedudukan Bahasa Melayu juga dijamin perlembagaan, bagaimana pula dengan usaha Dr Mahathir pada tahun 2003 memperkenalkan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Ingggeris (PPSMI), yang kini sudah dihapuskan? Soal Perlembagaan tidak dibangkitkan ketika itu. Jelas, peruntukan Perlembagaan itu bukanlah kaku, sebaliknya ia fleksibel dan boleh disesuaikan dengan tuntutan zaman.

Mahkamah Tinggi pada Mei lalu juga telah mengisytiharkan bahawa PPSMI tidak bertentangan dengan perlembagaan kerana sekolah-sekolah masih mengekalkan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar. 

Dan perkara paling besar dalam soal kedudukan orang Melayu ini tentulah pegangan ekuiti Bumiputera yang ditetapkan pada kadar minimum 30 peratus.

Inilah dasar yang begitu kuat dipertahankan Perkasa dan sekutunya Umno.

Dasar ini pada saya cukup kabur sekali, kerana tidak jelas apa yang dipertahankan sebenarnya. Adakah memperuntukkan minimum 30 peratus itu akan mengayakan keseluruhan orang Melayu? Adakah ia akan menaikkan taraf hidup orang Melayu? Adakah ia dapat menyelesaikan masalah kemiskinan bandar, yang mangsanya kebanyakannya adalah orang Melayu?

Dan data-data berkenaan polisi ini juga sebenarnya terlalu kabur. Kajian terbitan Universiti Malaya pada 2002 mengatakan pegangan orang Melayu sebenarnya sudah mencapai 33.7 peratus, Institut Kepimpinan Strategik Asia (ASLI) pada 2006 pula meletakkan angka 45 peratus. Sementara pihak kerajaan pada 2006 juga mengatakan pegangan ekuiti Bumiputera hanya 18.9 peratus.

Perbezaan-perbezaan angka dikatakan berpunca daripada masalah metodologi. Namun yang pasti, walau apa angkanya, orang Melayu terbanyak tidak mendapat faedah daripada dasar ini.

Jika Perkasa bersungguh dan ikhlas, saya menjemput Perkasa untuk sama-sama mencadangkan satu dasar 'Pengagihan Semula secara Adil Kekayan Ekuiti Bumiputera' sediada didalam syarikat-syarikat tersenarai dan bukan tersenarai yang memperolehi projek kerajaan dan pengswastaan dari kerajaan, konsesi lebuhraya dan penjanaan elektrik, dan syarikat berkait dengan kerajaan (GLC) untuk dijualkan 30 peratus daripada saham milik individu atau syarikat bumiputera dengan menggunakan nilai saham 'par-value' yang menjadi metodologi penilaian saham rasmi kerajaan kepada seramai mana orang Melayu dimana 25 peratus saham tadi dimasukkan kedalam Tabung Biasiswa Pendidikan dan selebih 5 peratus kepada koperasi pekerja syarikat penyumbang tadi. Dan baki 70 peratus pegangan asal masih didalam tangan pemilik individu dan syarikat bumiputera tadi.

Untuk menguji keberkesanan dasar ini, saya cadangkan kita mulakan dengan syarikat Kenchana Petroleum, Scomi, CIMB, Perimekar, APCO dan sebuah syarikat pembinaan yang menerima kontrak membina sebuah jambatan di Pasir Mas satu ketika dahulu.

Apa yang saya cuba bangkitkan ini sebenarnya bukanlah perkara baru. Kerana itu saya terkejut apabila bermacam-macam tohmahan ditujukan kepada saya.

Debat yang saya cadangkan ini sebenarnya adalah sesuatu yang telah dijangka oleh sesetengah pengasas negara kita.

Bekas Timbalan Perdana Menteri Tun Dr Ismail sendiri pernah mengatakan bahawa kedudukan istimewa adalah satu penghinaan kepada kemampuan orang-orang Melayu. Jangan lupa Allahyarham adalah juga anggota Kabinet pertama Tunku Abdul Rahman.

Maka Tun Dr Ismail mengatakan kedudukan orang Melayu ini akan ditentukan oleh orang Melayu sendiri. Beliau meramalkan dengan semakin ramai Melayu yang berpendidikan dan mendapat keyakinan diri, mereka sendiri akan menghapuskan kedudukan istimewa ini.

Walaupun bukanlah tujuan saya di sini untuk menghapuskan peruntukan perlembagaan itu, kerana yang saya persoalkan adalah dasar dan pelaksanaan.

Tapi apa yang hendak saya katakan adalah proses perubahan seperti yang diramalkan bekas timbalan presiden Umno itu hanya boleh bermula dengan muhasabah melalui perdebatan.

* Penulis adalah ahli Parlimen Lembah Pantai. Beliau mengalu-alukan maklum balas di mp@nurulizzah.com




DD

KOMEN
0 KOMEN

0 komen (Sila komen sikit..):

Catat Ulasan

Sendiri mau ingat...

LISTEN TO AL-QURAN ONLINE

Listen to Quran

Blog Archive