KUALA LUMPUR, 2 Ogos – PAS akan menganjurkan Kempen Anti Saman Ekor di seluruh negara untuk mendidik orang ramai tentang kesan sistem itu yang dianggap sebagai menjadi punca menyebabkan kenderaan disenarai hitam semasa hendak diperbaharui cukai jalan.
Kempen di ibu negara pada 9 dan 10 Ogos ini dimulakan dengan sesi bertemu mangsa saman ekor bagi memberi penerangan kepada mereka dari sudut undang-undang mengenai tindakan dikenakan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan polis.
Penganjur kempen itu juga mahu mengadakan pertemuan dengan Menteri Pengangkutan Datuk Seri Chong Ko Ha dan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein.
Kempen yang julung kali diadakan ini akan dipengerusikan Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar (gambar) manakala ADUN Paroi Taufek Ghani sebagai timbalannya.
Ia akan bergerak dari negeri ke negeri bagi menyedarkan orang ramai tentang perkara tersebut selain meminta Kementerian Pengangkutan melalui JPJ menghapuskan sistem menyenarai hitam kenderaan.
“Kami berharap pihak menteri tidak ada masalah dengan pertemuan ini kerana isu ini melibatkan rakyat secara keseluruhannya.
“Kami minta pihak Kementerian Pengangkutan membuat keputusan bijak dengan mengarahkan JPJ membatalkan senarai hitam dan izinkan orang ramai untuk perbaharui cukai jalan,” kata beliau selepas pelancaran Kempen Anti Saman Ekor di ibu pejabat PAS di sini hari ini.
Mahfuz juga menyifatkan tindakan JPJ menyenarai hitam pemandu yang diberikan saman 'ekor' sebagai melanggar perlembagaan persekutuan.
Menurut Ahli Parlimen Pokok Sena itu, peruntukan mengeluarkan saman ekor atau saman diposkan ke rumah tiada dalam Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Menurut beliau, mengikut Seksyen 115 akta ini, polis sepatutnya memberikan notis tujuh hari sebelum mengeluarkan saman kepada pemilik kenderaan yang didapati melanggar peraturan lalu lintas sebelum diberi peluang hadir di hadapan hakim untuk perbicaraan.
Namun realitinya, ramai pemilik yang tidak tahu langsung mereka disaman dan nama mereka telah disenaraihitamkan JPJ.
Mahfuz dengan yakin menyatakan tindakan JPJ itu salah kerana agensi itu tiada langsung kuasa untuk menyenaraihitam individu sesuka hati kerana tidak mengetahui diri disaman.
“Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan seseorang itu tidak boleh dihalang haknya pada harta sendiri,” katanya.
Mahfuz merujuk dalam kes dua tahun lalu di Kuching di mana kes Lim Yew Chong melawan JPJ Sarawak di mana hakim mahkamah tinggi Sarawak menggunakan alasan ini untuk memberikan hak Lim memperbaharui cukai jalannya.
“JPJ sepatutnya agensi yang mengutip hasil cukai jalan di negara ini. Yang peliknya, dalam hal ini mereka menghalang orang membayar cukai. Mereka bertindak macam ejen polis,” katanya.
TMI