Dey Macha

dsp160519

dsp231112
IKLAN BANNER RM30-TEKS RM10 SEBULAN biaqpila(at)gmail.com



Isnin, September 13, 2010

4 mengaku bunuh, bakar Sosilawati



BANTING - Empat pekerja ladang buah-buahan dan ternakan milik seorang peguam bergelar Datuk mengaku terlibat membunuh dan membakar Datuk Sosilawati Lawiya, 47, dan tiga lelaki bersama jutawan kosmetik itu di Ladang Gadong, Tanjung Sepat di sini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Bakri Zinin berkata, berdasarkan pengakuan empat daripada lapan lelaki yang ditahan reman itu, polis kemudian berjaya menemui lokasi empat mangsa yang dipercayai ditahan, dibunuh dan dibakar di ladang ternakan tersebut.

"Kesemua lelaki terbabit mengaku membawa mangsa ke ladang seluas empat hektar itu sebelum dipukul sehingga mati dan mayat mereka kemudian dibakar.

"Abu mayat mangsa kemudian dibuang ke sebatang sungai berhampiran sebuah ladang ternakan di situ," kata beliau pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Langat dekat sini semalam.

kosmo


Sementara itu laporan BERNAMA menyebut;

8 suspek, termasuk peguam bergelar datuk ditahan
Sep 12,

Seorang peguam berusia 41 tahun yang dikenali ramai di Banting dan bergelar 'Datuk', telah ditahan bersama adik lelakinya, dua wanita serta empat yang lain, termasuk pekerja ladang mereka berhubung kes kehilangan jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga lagi, yang kemudiannya dibunuh, dibakar dan abunya dibuang di sebatang sungai di Tanjong Sepat dekat pekan itu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Mohd Bakri Zinin berkata kesemua suspek mengaku membawa mangsa ke ladang seluas empat hektar itu sebelum dipukul sehingga mati dan mayat mereka dibakar.

Abu mayat mangsa kemudian dibuang ke dalam sebatang sungai berhampiran Ladang Gadong, Tanjong Sepat, kata Mohd Bakri dalam sidang akhbar di ibu pejabat polis daerah (IPD) Kuala Langat hari ini.

Beliau berkata keluarga mangsa telah dimaklumkan mengenai perkara itu, bagaimanapun, polis masih memerlukan pengesahan daripada bahagian forensik dan Jabatan Kimia.

"Apa yang boleh saya sahkan sekarang ialah selepas pengakuan suspek, peluang kesemua mangsa ditemui masih bernyawa adalah sangat tipis," katanya.

Polis telah menghantar pasukan forensik dan kimia bagi mencari bahan bukti di kawasan tersebut, selain pakar patologi serta unit anjing pengesan.

Seorang kakitangan forensik yang enggan dikenali berkata mereka tercium bau petrol di kawasan di mana keempat-empat mangsa dipercayai dibunuh dan dibakar.

Selain pengasas syarikat kosmetik Nouvelle Visages (NV) tersebut, turut dibunuh ialah pemandunya Kamaruddin Shamsudin, 44, pegawai bank CIMB Kampung Baru Noorhisham Mohammad, 38, dan peguam peribadi Ahmad Kamil Abdul Karim, 32.

Jutawan wanita berusia 47 tahun itu yang juga bekas isteri penyanyi rock Nash dan tiga yang lain dilaporkan hilang sejak 30 Ogos, selepas datang ke kawasan itu untuk urusan pembelian tanah.

Seminggu selepas itu, polis menjumpai kereta BMW Sosilawati di Apartmen Angsana di USJ 1, Subang Jaya serta kereta BMW Ahmad Kamil di kawasan perumahan di depan sebuah hotel di Subang Jaya.

Mohd Bakri berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori, dan polis Kuala Lumpur akan menjalankan siasatan memandangkan kali terakhir kesemua mangsa dilihat adalah ketika mereka meninggalkan pejabat Sosilawati di Kuala Lumpur.

Mengenai motif kejadian tragis itu, beliau berkata ia lebih menjurus kepada persaingan perniagaan di antara kedua-dua peguam dengan Sosilawati.

Peguam berkenaan, yang dipercayai pernah digantung amalan guaman selama setahun pada 2007, dikenali sebagai broker tanah di kalangan penduduk setempat dan dipercayai mengendalikan beberapa urus niaga bernilai jutaan ringgit bagi pihak Sosilawati.

Kesemua suspek yang berusia lingkungan 19 dan 41 tahun, kini ditahan di Balai Polis Bukit Jalil, Kuala Lumpur, dan difahamkan polis telah mendapat perintah tahanan reman selama tujuh hari terhadap mereka bagi membantu siasatan berhubung kes itu.

Kes membabitkan Sosilawati dan tiga yang lain itu juga bakal merungkai misteri di sebalik tembok besar yang mengelilingi kawasan ladang kelapa sawit yang turut menempatkan beberapa kandang lembu dan kambing.

Malah menurut Mohd Bakri, suspek turut mengaku pernah menggunakan modus operandi serupa sebelum ini, dan polis sedang menyiasat kehilangan empat individu lain di kawasan tersebut sejak setahun lalu.

Menurut seorang penduduk tempatan, peguam berkenaan amat dikenali di kawasan itu kerana dia membantu pekerja asing yang ditipu gajinya oleh majikan mereka.

"Dia juga dikenali sebagai broker tanah. Tetapi kami amat terkejut apabila dia ditahan," katanya.

Sementara itu, seorang pemilik tanah yang terletak berhampiran kawasan kejadian berkata, ladang tersebut dilengkapi pintu elektronik dan tiada sesiapapun dibenarkan masuk.

- Bernama

KOMEN
0 KOMEN

0 komen (Sila komen sikit..):

Catat Ulasan

Sendiri mau ingat...

LISTEN TO AL-QURAN ONLINE

Listen to Quran

Blog Archive