
SHAH ALAM- “Saya tidak mahu layan Zulkifli,” kata Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali ketika diminta mengulas dakwaan Ahli Parlimen Kulim- Bandar Baharu, Zulkifli Noordin mengenai pimpinan‘badut hingusan’ menjejaskan Pas.
“Beliau (Zulkifli) sendiri sebelum ini cakap tidak mahu terlibat dengan parti politik, jadi buat apa saya layan dia,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.
Kelmarin, Zulkifli mendakwa sedemikian dengan menyatakan ‘badut hingusan’ tersebut tiba- tiba melatah terhadap spekulasi penyertaannya dalam parti.
Ahli Parlimen Bebas itu menyifatkan beliau pelik dengan reaksi daripada pemimpin itu yang membantah keras beliau diterima masuk dalam Pas sedangkan beliau belum membuat sebarang permohonan.
Zulkifli yang sebelum ini selepas dipecat daripada Parti Keadilan Rakyat menyatakan beliau hanya memilih parti yang berasaskan Islam sekiranya diberi peluang untuk menyertai parti.
Namun, impian Zulkifli itu mendapat bantahan daripada Naib Presiden Pas, Datuk Mahfuz Omar dan Mustafa yang menyifatkan Pas tidak wajar menerima Zulkifli dan sekiranya Pas menerima Zulkifli, ia seolah-olah tidak menghormati keputusan Lembaga Disiplin Parti Keadilan Rakyat yang memecat Zulkifli.
sinarharian